Skip to content

PERUTUSAN HARI PEKERJA 2026 OLEH KETUA MENTERI PULAU PINANG

Salam sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.

Hari ini, 1 Mei 2026, kita bukan sekadar memperingati satu tarikh dalam kalendar, sebaliknya kita meraikan denyut nadi ekonomi negeri ini, iaitu anda para pekerja yang menjadi tunjang kemajuan. Tema ‘Pekerja Madani Kesuma Bangsa’ yang diangkat pada tahun ini merupakan satu pengiktirafan tertinggi bahawa di sebalik setiap angka pertumbuhan dan pencakar langit yang tegak di Pulau Pinang, terdapat titisan keringat serta pengorbanan ikhlas daripada setiap insan yang bergelar pekerja.

Selaku Ketua Menteri, saya amat bangga menyaksikan daya usaha luar biasa warga kerja kita, daripada kepakaran jurutera di Bayan Lepas, kesetiaan penjawat awam dalam memastikan jentera kerajaan berjalan lancar, hinggalah kecekalan wira ekonomi gig di jalanan yang mana setiap daripada anda adalah nadi penting yang menggerakkan simfoni kemajuan Pulau Pinang.

Melangkah ke suku kedua 2026, ekonomi negeri berada pada landasan yang amat kukuh. Pulau Pinang terus mempertahan kedudukannya sebagai ‘Nadi Eksport’ Malaysia, dengan sumbangan hampir 45 peratus kepada jumlah eksport nasional. Pencapaian ini dipacu oleh lonjakan pelaburan dalam sektor pembuatan yang merekodkan nilai RM22.4 bilion pada tahun lalu.

Namun, angka-angka ini hanya bermakna apabila diterjemahkan kepada kesejahteraan rakyat. Dengan 24,633 peluang pekerjaan baharu yang bakal terhasil daripada projek-projek pelaburan ini, fokus kita kini adalah memastikan rakyat Pulau Pinang bukan sekadar menjadi pemerhati, tetapi juga tampil sebagai pemain utama dalam industri bernilai tinggi.

Kadar pengangguran yang kini stabil pada 2.7 peratus membuktikan bahawa pasaran buruh negeri ini kekal dinamik dan berdaya tahan. Namun, cabaran sebenar tahun 2026 adalah ‘revolusi kemahiran’. Kita sedang berdepan dengan ledakan Kecerdasan Buatan (AI) serta peralihan ke arah ekonomi hijau. Kerajaan Negeri tidak akan membiarkan anda mengharungi arus ini bersendirian. Melalui peruntukan pembangunan yang diperuntukkan, kita sedang membangunkan sebuah ekosistem yang bukan sahaja melindungi, malah memperkasa warga kerja kita.

Dua projek mercu tanda kini sedang mengubah landskap kerjaya di negeri ini. Pertama, pembangunan Pulau Silikon (Silicon Island) melalui Green Tech Park yang bakal muncul sebagai pusat graviti pekerjaan masa hadapan. Projek ini bukan sekadar kawasan perindustrian baharu tetapi sebuah ekosistem progresif yang menggabungkan teknologi maju dengan kelestarian alam secara seiring.

Kedua, aspirasi untuk merealisasikan sistem pengangkutan moden kini menjadi kenyataan melalui Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara. Dengan memasuki fasa pembinaan kritikal pada tahun ini, projek ini merupakan komitmen kami untuk ‘memulangkan masa’ kepada rakyat. Masa yang sebelum ini terbuang dalam kesesakan kini dapat dimanfaatkan untuk keluarga serta menikmati kualiti hidup yang lebih sejahtera.

Selain pembangunan infrastruktur fizikal, pelaburan sebanyak RM15 juta dalam program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dirangka bagi memastikan generasi muda kita memiliki ‘pasport kemahiran’ yang diiktiraf pada peringkat global. Kita berhasrat melahirkan tenaga kerja yang bukan sekadar mahir melaksanakan arahan tetapi berupaya berinovasi serta mencipta penyelesaian terhadap cabaran dan permasalahan dunia.

Sebagai penutup kata, saya ingin menyentuh soal ihsan dan kebajikan. Dalam kita mengejar produktiviti, jangan sesekali mengabaikan nilai kemanusiaan. Saya menyeru para majikan di seluruh negeri agar melihat aspek kesihatan mental serta keseimbangan kerja dan kehidupan sebagai satu pelaburan, bukannya beban kos. Sesungguhnya, pekerja yang sejahtera dan bahagia merupakan pemangkin utama kepada produktiviti yang mampan demi merealisasikan Visi Penang2030 yang digagaskan.

Selamat Menyambut Hari Pekerja 2026.