Skip to content

Tolak Kerajaan Tebuk Atap DAPSY Desak PH Kaji Semula Kerjasama Dengan Pihak Yang Mengkhianati Mandat

1. DAPSY Kebangsaan menegaskan pendirian menolak sekeras-kerasnya sebarang bentuk kerajaan tebuk atap atau usaha membentuk “pemerintahan pintu belakang” di mana-mana peringkat.

2. DAPSY menyeru kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan untuk segera mengkaji semula semua bentuk kerjasama dengan parti-parti yang bertindak bercanggah dengan semangat Kerajaan Perpaduan, khususnya jika wujud tanda-tanda jelas bahawa mereka sedang menggerakkan agenda yang menjejaskan kestabilan kerajaan dan mandat rakyat.

3. DAPSY mengecam semua usaha, gerak kerja dan rundingan yang bertujuan membentuk kerajaan tebuk atap, termasuk mana-mana parti politik dan individu yang terlibat. Amalan sebegini bukan sahaja merosakkan demokrasi, malah membina budaya politik tanpa prinsip yang meletakkan kepentingan kuasa mengatasi kepentingan rakyat.

4. DAPSY menegaskan bahawa kerajaan tebuk atap adalah bertentangan dengan mandat dan kehendak rakyat, lebih-lebih lagi di negeri-negeri seperti Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor yang bertanding dalam pilihan raya atas semangat dan kerangka Kerajaan Perpaduan. Mandat yang diberikan pengundi adalah mandat untuk kestabilan dan kerjasama yang dipersembahkan ketika pilihan raya, bukan bentuk kerjasama baharu yang dibentuk selepas pilihan raya melalui rundingan tertutup.

5. Oleh itu, setiap parti dan ahli politik wajib menghormati asas mandat pengundi. Mengubah kerajaan melalui pintu belakang tanpa kembali kepada rakyat adalah satu penghinaan terhadap prinsip demokrasi dan satu bentuk pengkhianatan terhadap kepercayaan pengundi.

6. DAPSY menegaskan, sekiranya parti-parti berkenaan tetap berkeras mahu menggugat kestabilan Kerajaan Perpaduan, maka kerajaan-kerajaan negeri yang dipimpin dan diterajui Pakatan Harapan wajar mempertimbangkan tindakan tegas termasuk menamatkan sebarang bentuk kerjasama di semua peringkat pentadbiran.

7. DAPSY turut menggesa Pengerusi Barisan Nasional untuk campur tangan secara bertanggungjawab dan menunjukkan iltizam politik bagi meredakan polemik ini. Krisis keyakinan tidak boleh ditangani dengan berdiam diri atau membiarkan spekulasi terus berlarutan, kerana ia hanya menggalakkan percaturan yang merosakkan.

8. Pada ketika negara berdepan cabaran besar ketidaktentuan krisis tenaga, sebarang tindakan yang menjejaskan kestabilan politik adalah satu pengkhianatan terhadap rakyat. Negara memerlukan kepimpinan yang fokus kepada penyelesaian, bukan permainan kuasa yang mengheret rakyat ke dalam ketidakpastian.

9. Akhirnya, DAPSY menyeru pengundi untuk menolak sepenuhnya mana-mana ahli politik yang mengkhianati mandat rakyat dan cuba membentuk kerajaan melalui pintu belakang. Kuasa sebenar datang daripada rakyat dan rakyat berhak menghukum pengkhianatan mandat melalui undi pada pilihan raya akan datang.