Kerajaan Negeri telah berusaha secara berterusan untuk berunding dengan semua pihak berkepentingan terjejas, termasuk Waterfall Cafe, dengan tujuan mencari penyelesaian yang adil dan praktikal untuk semua pihak.
Secara dasarnya, semua ruang rundingan aktif yang dibuka gagal mencapai penyelesaian, dan semua notis arahan pengosongan yang dibuat oleh Pentadbir Tanah Daerah Timur Laut bermula notis pengosongan pada 4 Januari 2024 dan sehingga kini tidak dipatuhi.
Walaupun terdapat tunggakan sewaan, Kerajaan Negeri melalui Pejabat Daerah dan Tanah Timur Laut (PDTTL) telah menawarkan beberapa pilihan munasabah kepada Waterfall Cafe untuk berpindah dan meneruskan operasi, termasuk dua (2) unit di tempat letak kereta bertingkat di bangunan tempat letak kereta bertingkat (plaza komersial) untuk projek kereta kabel Bukit Bendera yang bakal dibina serta tapak sementara sepanjang tempoh pembinaan. Malangnya, pilihan-pilihan ini telah ditolak tanpa justifikasi yang jelas, walaupun ia ditawarkan dengan niat baik bagi menyokong kesinambungan perniagaan.
Perlu juga dinyatakan bahawa dalam mesyuarat penyelarasan pada 19 Jun 2023 yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Menteri II ketika itu, mesyuarat telah bersetuju bahawa Waterfall Cafe akan berpindah dan menjelaskan tunggakan sewaan. Namun, komitmen tersebut tidak ditunaikan.
Notis pengusiran pertama telah dikeluarkan pada 4 Januari 2024 oleh PDTTL, dengan beberapa siri perbincangan bermula 19 Februari 2024. Notis terakhir adalah pada 15 April 2026 sebelum disusuli dengan tindakan penguatkuasaan pada hari ini.