Sungguh pelik untuk mengetahui bahawa jutaan rakyat asing boleh memasuki negara kita tanpa izin. Malaysia adalah sebuah negara yang berdaulat dan mempunyai tanggungjawab untuk menjaga keselamatan rakyatnya. Kementerian Dalam Negeri yang diberi amanat untuk menjaga keselamatan rakyat dan negara telah gagal menjalankan tanggungjawab itu.
Malaysia kini mengalami lambakan warga asing yang menduduki tanahair kita tanpa izin. Saya tidak faham bagaimana perkara ini boleh berlaku sedangkan kita mempunyai banyak agensi-agensi penguatkuasa yang bertanggungjawab dalam hal ini.
Adakah kita bersetuju bahawa PATI ini lebih pandai dan cekap daripada agensi-agensi penguatkuasa seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Maritim Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan sebagainya. Kalau itulah keadaan yang sebenar kita harus berasa malu dengan kedaifan pihak-pihak ini menjalankan tanggungjawab yang diamanatkan.
Kalau di negara-negara maju, Menteri Dalam Negeri sudah lama meletakkan jawatannya kerana gagal melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat dan negara. Tetapi, kita tidak boleh mengharapkan perkara yang sama di negara kita kerana pemimpin-pemimpin negara berkulit tebal dan tidak pernah berasa malu dengan kelemahannya.
Kalau kita masih ingat, kerajaan telah melaksanakan Program 6P pada tahun 2011. Program ini melibatkan Pendaftaran, Pemutihan, Pengampunan, Pemantauan, Penguatkuasaan dan Pengusiran Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang menetap di negara ini.
Dalam melaksanakan Program 6P seramai 1,303,126 PATI telah didaftarkan. Ini bermakna lebih sejuta PATI telah berani keluar untuk mendaftarkan diri. Mungkin terdapat ramai lagi PATI yang tidak keluar untuk mendaftarkan diri kerana takut diambil tindakan.
Pernahkah mana-mana pemimpin pihak kerajaan di negara kita berasa malu dengan jumlah ini? Program 6P itu sendiri telah mendedahkan kelemahan KDN kerana gagal menjaga keselamatan ibu pertiwi.
Berapakah jumlah PATI yang masih berada di negara kita sekarang? Jumlahnya mungkin lebih daripada sebelum. Kita tidak dapat mencari jalan penyelesaian untuk masalah ini. Keselamatan rakyat amat tergugat dengan kehadiran jutaan PATI di negara kita.
Bagaimana kita boleh melindungi rakyat kita yang boleh dibunuh, dirogol, dipukul atau dilakukan jenayah-jenayah lain oleh PATI dan kemudiannya melarikan diri semula ke negara asal mereka? Sudah pasti mereka tahu jalan keluar dari negara kita dengan cara yang sama seperti mana mereka memasuki tanahair ini.
KDN perlu memandang serius tentang hal ini dan mengambil segala langkah untuk menyelesaikan masalah ini dengan segera. KDN juga harus bersedia untuk membersihkan kementeriannya daripada unsur-unsur rasuah yang menjadi punca kehadiran jutaan PATI di negara ini.
Saya mencadangkan supaya satu Jawatankuasa Pilihan Khas dilantik di kalangan Ahli-ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang untuk mencari jalan penyelesaian untuk menangani masalah PATI di negara kita.