Skip to content

Mengapakah Najib masih membiarkan ahli-ahli UMNO untuk menyertai perhimpunan ‘Baju Merah’?

Perdana Menteri dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO bertarikh 9 September 2015 telah menyatakan anggota Umno bebas untuk menyertai perhimpunan ‘Baju Merah’ pada 16 September ini.

Sedangkan pada hari yang sama di GeorgeTown, Ketua Polis Negara telah menekankan bahawa beliau tidak akan membenarkan perhimpunan tersebut berlangsung atas alasan keselamatan seperti dalam laporan berita NST online bertajuk Police Will Not Allow Sept 16 Rally. Timbul persoalan mengapakah Najib masih membiarkan ahli-ahli UMNO untuk menyertai perhimpunan tersebut?

Begitu juga dalam kenyataan oleh Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan bertarikh 7 September 2015 seperti yang dilaporkan di dalam Agendadaily.com yang mengancam untuk menghantar sampah sarap ke pejabat Bersih, kenyataan ini juga adalah satu kenyataan yang salah dan tidak mengambarkan kecerdikan seorang Menteri. Perbuatan membuang sampah merata-rata memang satu kesalahan apalagi sekiranya membuang sampah di hadapan premis orang lain.

Kedua-dua keadaan kes ini sememangnya perbuatan yang salah. Adalah sangat menghairankan apabila Pemimpin tertinggi Negara dan anggota kabinetnya masih boleh mengeluarkan kenyataan yang sebegini. Adakah kedua-dua mereka ini lebih tinggi daripada undang-undang Negara? Adakah Najib sedang menunjukkan isyarat bahawa ahli-ahli UMNO kebal dari tindakan undang-undang?

Najib ingin menyatakan bahawa beliau mengaplikasikan bentuk pemerintahan yang mempunyai dua set undang-undang – satu untuk ahli UMNO dan satu lagi untuk rakyat biasa? Adalah sangat tidak bermoral bagi seorang Perdana Menteri dan Menteri Kabinet mengeluarkan kenyataan yang mengalakkan orang awam untuk melakukan kesalahan.