Saya mengecam tindakan Pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA, Datuk Ti Lian Ker yang menggunakan alasan perhimpunan Bersih 4.0 berbau perkauman sebagai perangkap ke atas DAP di samping menggesa MCA untuk menghentikan cara keji yang digunakan dalam memperbesarkan kes memijak gambar pemimpin ketika perhimpunan tersebut.
Matlamat utama Bersih 4.0 adalah untuk menuntut pilihan raya dan kerajaan yang bersih, serta memberikan tekanan kepada kerajaan untuk menyelamatkan ekonomi dan berhenti menekan perbezaan pendapat. Perhimpunan ini langsung tiada sebarang perkaitan dengan isu agama mahupun perkauman. Ti Lian Ker sengaja memperbesarkan perkara yang dilakukan oleh seorang dua peserta perhimpunan untuk memburukkan imej perhimpunan Bersih dan seterusnya menyebabkan kemarahan orang Melayu dengan kenyataan beliau. Ini kelihatan beliau seperti sengaja membantu UMNO untuk menyemarakkan lagi api perkauman bagi mengalihkan perhatian masyarakat.
Tindakan MCA untuk menyamakan Bersih 4.0 dengan rusuhan Low Yat jelas sekali ia adalah bertujuan untuk membuat perhimpunan Bersih 4.0 ini kelihatan sebagai satu perhimpunan perkauman. Saya ingin menegaskan di sini bahawa peserta Bersih terdiri daripada rakyat berbagai bangsa, agama dan datang dari berbagai kawasan, bukan seperti tuduhan MCA iaitu ekstrimis perkauman. Pada masa yang sama, perhimpunan ini dianjurkan oleh NGO dan DAP hanya bertanggungjawab memberi sokongan dengan menggerakkan penyertaan peserta. Tindakan MCA menyalahkan DAP hanya disebabkan oleh sebilangan kecil sikap perserta merupakan sebuah fitnah.
MCA mengatakan DAP menguasai himpunan Bersih dan juga membesarkan insiden peserta memijak gambar Perdana Menteri dan Presiden Pas, Abdul Hadi, adalah sekadar untuk bersama–sama UMNO memburukkan perhimpunan tersebut dengan sengaja menjentik sensitiviti perkauman. Lebih buruk lagi, MCA seolah–olah mempunyai agenda tersembunyi apabila mengambil kesempatan menakut–nakutkan rakyat dengan peristiwa 13 Mei serta menebalkan ketegangan antara kaum. Namun, apabila berhubung kes dana RM2.6b dalam akaun peribadi Perdana Menteri dan juga skandal 1MDB, MCA hanya sekadar mendiamkan diri tanpa bersuara walau sepatah.
DAP berpegang pada prinsip lantang bersuara, mempersoalkan kredibiliti pemimpin negara yang terlibat dalam salah laku. MCA merupakan penyebab kepada isu perkauman kerana mereka hanya memberi fokus dalam memperbesarkan kes peserta memijak gambar Najib dan Abdul Hadi. Tambahan lagi, sejak peningkatan kesedaran kaum Cina akan perkaitan ekonomi negara dengan demokrasi negara ini dan seterusnya bangkit memberikan tekanan kepada kerajaan, MCA baru sedar bahawa mereka sudah tidak dapat berterusan menipu rakyat dengan alasan faktor ekonomi. Lantaran itu, MCA berpaling kembali kepada UMNO untuk bersama – sama menyemarakkan isu perkauman bertujuan untuk kepentingan politik sendiri.