Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen hari ini, membentangkan laporan berhubung Pengurusan Educational Malaysia Global Services (EMGS) di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Isu ini adalah penemuan audit yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2018 Siri 1 dan dibentangkan di Parlimen pada 15 Julai 2019.
Jawatankuasa ini, memulakan prosiding bagi isu:
- 4 September 2019, dengan memanggil YBhg. Dato’ Dr. Mohd Gazali bin Abas, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia dan Encik Shahinuddin bin Shariff, Ketua Pegawai Eksekutif CEO (EMGS).
- 9 Oktober 2019, dengan memanggil YBhg. Dato’ Dr. Rujhan bin Mustafa, mantan CEO (EMGS).
- 28 November 2019, memanggil semula YBhg. Dato’ Dr. Mohd Gazali bin Abas, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia dan Encik Shahinuddin bin Shariff, Ketua Pegawai Eksekutif CEO (EMGS).
Dalam mesyuarat prosiding berkenaan, ahli-ahli PAC Parlimen membangkitkan isu antaranya:-
- Tadbir Urus Korporat;
- Ketiadaan Wakil Jabatan Imigresen (JIM) Dalam Lembaga Pengarah;
- Ketiadaan SOP Yang Lengkap;
- Keahlian Jawatankuasa Audit, Pematuhan Dan Risiko (JKA);
- Pelantikan CEO Interim;
- Pegawai EMGS Ditempatkan Di Pejabat Menteri Pendidikan;
- Perjanjian Berat Sebelah Sistem Pendaftaran Permohonan Pelajar (STARS);dan
- Memo Periksa Keluar (Check Out Memo)
Berdasarkan keterangan yang diberikan oleh saksi-saksi, PAC Parlimen merumuskan bahawa :-
- Terdapat kelemahan dalam tadbir urus EMGS. Antaranya, pernah tiada wakil Kerajaan dalam ALP EMGS pada waktu tertentu yang menyebabkan keputusan untuk pelantikan CEO Interim pada 17 Januari 2019 dan pemendekan tempoh pelantikan mantan CEO pada 24 Februari 2019 dibuat dalam tempoh tersebut.
- Perjanjian antara EMGS dan SCICOM bertarikh 1 November 2012 (“Perjanjian SCICOM”) telah memperincikan tanggungjawab kontrak kedua-dua pihak. PAC Parlimen dimaklumkan oleh KPT kes mahkamah berkenaan perjanjian tersebut belum selesai.
- Sistem STARS adalah lemah dari segi penyimpanan data khasnya Check Out Memo (COM) yang menyebabkan isu overstay pelajar-pelajar tidak dapat dipantau. EMGS juga telah dinafikan hak untuk akses ke atas data-data pelajar yang sepatutnya merupakan hak milik EMGS. Tambah lagi, berlaku pengabaian terhadap keselamatan data kritikal dan penting mengenai pelajar asing di dalam negara dikendalikan syarikat swasta (SCICOM) tanpa penyeliaan daripada KPT.
- Terdapat keraguan dalam proses penyempurnaan Perjanjian SCICOM yang mana EMGS / ALP pada ketika Perjanjian SCICOM ditandatangani tidak menuntut terma yang paling baik untuk EMGS. SOP dalaman EMGS berkaitan isu ini juga tidak mematuhi tatacara perolehan MOF yang memperuntukkan perolehan syarikat melebihi had siling hendaklah dirujuk kepada Kementerian.
- Pelantikan CEO Interim Encik Shahinuddin bin Shariff pada 17 Januari 2019 adalah tidak teratur berdasarkan amalan tadbir urus korporat kerana tempoh pelantikan CEO ketika itu Dato’ Dr. Rujhan bin Mustafa masih berkuat kuasa.
- PAC Parlimen mendapati seorang Pengurus Kanan telah dilantik secara kontrak oleh EMGS tetapi secara pentadbiran telah ditempatkan di Pejabat Menteri Pendidikan sebagai Pegawai Khas Menteri. EMGS tidak mendapat manfaat dalam pelantikan Pengurus Kanan ini dan menanggung gaji berjumlah RM71,500 bagi tempoh 1 November 2018 hingga 15 April 2019.
- KPT di bawah Menteri Pengajian Tinggi yang baharu telah mengambil langkah-langkah proaktif dalam menyediakan hala tuju baharu EMGS dan ianya wajar mendapat sokongan dan kerjasama semua Kementerian dan Jabatan Kerajaan berkaitan khususnya, Kementerian Kewangan, Kementerian Pelancongan, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan agensi lain yang berkaitan.
Berikutan itu, PAC Parlimen mengesyorkan kepada Kerajaan supaya:-
- Agensi Kerajaan / Badan Berkanun / Syarikat Kerajaan hendaklah memastikan terdapat wakil Kerajaan dalam Lembaga Pengarah masing-masing pada semua masa meterial untuk memastikan setiap keputusan yang diambil adalah sejajar dengan hala tuju Kementerian.
- KPT dan EMGS perlu memastikan SCICOM melaksanakan kesemua tanggungjawab di bawah Perjanjian antara EMGS dan SCICOM bertarikh 1 November 2012 khasnya pelaksanaan skop kerja seperti yang termaktub dalam klausa 5 dan Appendix 2 Perjanjian.
- KPT perlu mengkaji dan merunding semula Perjanjian SCICOM mengikut perkembangan dan permintaan semasa. Sistem STARS perlu dipertingkatkan dari segi penyimpanan data dan KPT juga perlu memastikan semua data dalam sistem STARS disimpan, diselia dan dimiliki oleh EMGS serta Kementerian dan bukan diserah atau dikawal selia oleh syarikat vendor.
- Amalan mana-mana Menteri atau pun Timbalan Menteri memohon pelantikan pegawai khas mereka menerusi perjawatan dalam Agensi Kerajaan / Badan Berkanun / Syarikat Kerajaan harus dikaji semula. Segala pelantikan dalam jawatan Agensi Kerajaan/Badan Berkanun/Syarikat Kerajaan harus membawa manfaat langsung kepada pihak masing-masing.
- Agensi Kerajaan / Badan Berkanun / Syarikat Kerajaan hendaklah mematuhi prosedur perolehan yang ditetapkan oleh Kerajaan. Sebarang pengecualian perlu merujuk kepada kelulusan daripada Kementerian demi tadbir urus korporat yang lebih baik.
- EMGS hendaklah meminda Perlembagaan (Memorandum & Articles of Association) dengan mengetatkan urus tadbir korporat serta mengembalikan hak dan kepentingan Kementerian. Bagi memastikan tujuan tersebut dicapai, syarikat hendaklah ditadbir oleh pegawai kanan yang berpengalaman dalam urusan kewangan serta memahami urusan-urusan berkaitan KPT.
- KPT perlu merangka model perniagaan baru untuk EMGS memandangkan kemasukan pelajar asing ke Malaysia perlu terus ditingkatkan bagi membantu IPTA dan IPTS khususnya pasca penularan pandemik virus Covid-19.
Orang ramai yang berminat untuk membaca dan meneliti Laporan PAC Parlimen berhubung Pengurusan Educational Malaysia Global Services (EMGS) di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) boleh memuat turun (download) laporan serta hansard prosiding berkenaan di laman web PAC di alamat www.parlimen.gov.my/pac.