Skip to content

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2020 Siri 1

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen hari ini, mendapat taklimat berhubung Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2020 Siri 1
daripada Jabatan Audit Negara yang dibentangkan di Dewan Rakyat.

Berikutan ketidakhadiran Yang Berbahagia Datuk Seri Nik Azman bin Nik Abdul Majid yang tidak dapat hadir dalam taklimat hari ini, kerana perlu
menjalani kuarantin selama 7 hari selepas positif Covid-19, tiga Timbalan Ketua Audit Negara iaitu:

  1. Yang Berusaha Puan Patimah binti Ramuji (Timbalan Ketua Audit Negara, Prestasi);
  2. Yang Berbahagia Datuk Nor Salwani binti Muhammad, (Timbalan Ketua Audit Negara, Kewangan); dan
  3. Yang Berusaha Encik Roslan bin Abu Bakar, (Timbalan Ketua Audit Negara, Syarikat)

memberikan taklimat berhubung LKAN 2020 Siri 1 merangkumi:

  1. LKAN 2020 Siri 1 Aktiviti Kementerian / Jabatan Kerajaan Persekutuan dan Badan-Badan Berkanun Persekutuan;
  2. Penyata Kewangan dan Pengauditan Pematuhan Agensi Persekutuan; dan
  3. LKAN 2020 Siri 1 Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan.

LKAN Tahun 2020 Siri 1 terdiri daripada 3 Bahagian iaitu:-

  1. LKAN Aktiviti Kementerian / Jabatan Kerajaan Persekutuan dan Badan-Badan Berkanun Persekutuan – pengauditan dilakukan terhadap 7 kementerian dengan 10 laporan dilaporkan;
  2. LKAN Penyata Kewangan dan Pengauditan Pematuhan Agensi Persekutuan membabitkan pengesahan Penyata Kewangan kepada 147 agensi Kerajaan Persekutuan serta pengauditan pematuhan dilakukan kepada 5 agensi Kerajaan Persekutuan;
  3. LKAN Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan – pengauditan dilakukan kepada 6 syarikat Berhad menurut syer dengan 6 laporan dikeluarkan.

PAC dimaklumkan bahawa daripada 682 isu pengauditan, 5 isu adalah berpotensi boleh dikenakan tindakan punitif dan 677 isu yang lain membabitkan isu korektif.

PAC memandang serius LKAN Tahun 2020 Siri 1 ini yang melaporkan bahawa 1 kes dikesan membabitkan pemborosan berjumlah RM2.81 juta (Projek Menaiktaraf Perkhidmatan KTMB di bawah Kementerian Pengangkutan), 1 kes pembaziran berjumlah RM16.77 juta (Pengurusan Program Pembangunan Boleh Tenaga Baharu membabitkan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli); 1 kes kehilangan / kerugian wang awam berjumlah RM44.53 juta (Aktiviti Kawalan Terhadap Penggajian Ekspatriat di bawah Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia).

Pada masa sama, LKAN Penyata Kewangan dan Pengauditan Pematuhan Agensi Persekutuan pula mendedahkan bahawa terdapat isu membabitkan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang telah melakukan pembayaran dividen yang tidak teratur iaitu sejumlah RM600.59 juta dibayar dengan menggunakan dividen atas caruman kerajaan.

PAC akan mengadakan mesyuarat khas bagi meneliti semua isu-isu yang dibangkitkan ini dan akan memulakan prosiding selepas mendapat keputusan sebulat suara berhubung isu yang akan disiasat.