Skip to content

Ucapan perbahasan Kasthuri Patto Ahli Parlimen Batu Kawan bagi pindaan kepada Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (SOSMA) pada hari Rabu 23 Mac 2022 di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia

Terima kasih Tuan Speaker diatas peluang Batu Kawan mengambil bahagian dalam perbahasan pindaan kepada Akta SOSMA.

Pendirian saya tegas dan kukuh – saya menolak pindaan Akta SOSMA ini dan tuntut agar akta ini dimansuhkan sepenuhnya.

Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) telah diluluskan pada tahun 2012 dan diselubungi kontroversi akan kebarangkalian yang tinggi akta ini boleh disalah guna oleh mana-mana pihak berkuasa di bawah mana-mana kerajaan.

Satu undang-undang yang ketinggalan zaman, pelaksanaan yang mencurigakan serta tahanan tanpa bicara merupakan roh mutlak undang-undang zalim ini.

Saya berdiri bersama dengan rakyat Malaysia yang mahu hidup dalam satu suasana yang selamat, Makmur dan aman namun akta ini lahir setahun sebelum PRU13 pada tahun 2013, sekaligus menjadi satu ugutan dan ancaman kepada wakil rakyat, para aktivis dan warga marhaen.

Saya mahukan semua penjenayah, penjenayah kolar putih, kolar biru, tidak kira status social, jawatan, etnik, jantina dan agama agar diambil Tindakan undang-undang seperti semua warga marhaen yang lain, “without fear of favour”. Cari bukti, siasat, dakwa dan sabit – saya sokong. Tapi bukan sebaliknya – tangkap, cari bukti, cari bukti dan cari bukti sehingga kiamat.

Undang-undang yang sedia ada wujud hari ini di Malaysia cukup untuk menyiasat, mendakwa dan menyabit mana-mana pesalah menggunakan prinsip kedaulatan undang-undang untuk menegakkan kebenaran, keadilan, demokrasi, ketelusan dan akauntabiliti. Jika perlu, undang-undang yang perlu pindaan bolehlah dibawa untuk musyawarah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dan juga Bahagian Hal Ehwal Undang-undang agar prinsip keadilan “innocent until proven guilty” menjadi tunjang mesyuarat ini.

Akta SOSMA ini bertindih dengan bidangkuasa undang-undang lain yang telah wujud sekian lama – maka mengapa perlu ada undang-undang ini lagi.

Latar belakang SOSMA termasuklah tahanan tanpa bicara, konsep tangkap dahulu dan cari bukti kemudian dan tahanan tidak dibenarkan untuk dijamin.

Pada tahun 2018 Mohd Zulkifli telah menghantar RM200 kepada seorang kenalan lama yang dalam serba kekurangan melalui perbankan dalam talian. Beliau ditahan dibawah SOSMA atas tuduhan “menyalurkan dana untuk tujuan keganasan”.

Dalam tempoh 23 hari disiasat oleh polis Cawangan Khas beliau diberitahu bahawa kenalan beliau telah diwartakan sebagai “pengganas” maka beliau dituduh “menyalurkan dana untuk tujuan keganasan” walaupun beliau tetap diatas pendirian tidak terlibat dengan aktiviti keganasan.

Maria Chin Abdullah aktivis BERSIH untuk menuntut pilihanraya bersih, telus dan adil, seorang NGO telah ditahan pada November 2016 dibawah Akta SOSMA, selama 9 hari dibawah solitary confinement selama 11 hari. Seorang patriot yang mahukan system pilihanraya yang mengikut piawaian antarabangsa telah menjadi mangsa kerakusan dan kezaliman kerajaan pada masa itu sebagai satu ugutan dan ancaman – inilah reaksi dan tindakan kerajaan terhadap suara-suara yang menentang kerajaan.

Pada tahun 2019 12 orang termasuk 2 ADUN DAP ditahan dibawah SOSMA diatas tuduhan penglibatan dalam LTTE yang sudahpun “defunct”. Saminathan mantan ADUN dan EXCO dan Gunasekaran ADUN Seremban Jaya yang ditahan dibawah SOSMA untuk 135 hari tetapi dibebaskan pada bulan Februari 2020.

Pada 27 Oktober 1987 mendiang ayah saya P.Patto bersama dengan lebih 100 ahli politik, ahli agamawan, aktivis pendidikan, aktivis alam sekitar, aktivis wanita dan aktivis hak asasi manusia telah ditahan tanpa bicara dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama 15 bulan diatas tuduhan merapu dan fitnah kerajaan bahawa beliau “a threat to national security”. Seorang wirawan, patriot, yang cintakan tanahair ditahan kerana tidak sehaluan dengan kerajaan. Ramai juga yang telah ditahan, termasuk Pasir Salak pada masa itu. Ramai ahli politik PAS juga ditahan dibawah ISA – silap haribulan kalau tidak sehaluan dengan pihak kerajaan, boleh dicekup bawah SOSMA juga.

P.Patto bersama beberapa graduan KEMTA, Kem Tahanan Perlindungan Taiping dibebaskan pada tahun 1989 bersama rakan-rakan lain. Saya dan adik saya tidak dapat peluk ayah kami selama 15 bulan, ibu saya tidak dapat merasa sayang seorang suami untuk 15 bulan. Seorang yang tidak bersalah yang menjadi mangsa kerakusan percaturan politik.

Begitu merbahaya Akta ini Tuan Speaker. Jangan-jangan Tuan Speaker pun mungkin kena pulak.

Walaupun ISA telah dimansuhkan, negara Malaysia ditolak ke zaman penjajahan lagi dengan wujudnya Akta SOSMA ini. Terlepas dari mulut buaya, masuk ke mulut harimau.

Akta SOSMA ini boleh digunakan sewenang-wenangnya diatas sesiapa pun – tindakan melabel sebagai penjenayah sebelum disabitkan di mahkamah merupakan tindakan mengambil alih tanggungjawab mahkamah – “usurping the position of the courts”.

Satu akta yang boleh digunakan sebagai senjata politik terhadap warga marhaen, aktivis dan NGO dan ahli politik tiada tempat dalam negara kita ini, tanah air ini di abad 21 ini.

Akta ini harus dirujuk kepada Jawatankuasa Khas Parlimen untuk ditimbang semula dan dibahas dalam Dewan yang mulia ini dan diputuskan oleh Ahli Parlimen tanpa rasa takut.

Saya anak bangsa Malaysia. Tidak akan saya gadaikan kedaulatan, integriti dan keselamatan negara yang saya cintai ini. Kenyataan Menteri mengguris hati saya. Kerana cinta saya untuk Malaysia, akan saya bantah Akta zalim ini dan bukan sebaliknya.

Kita sedang membahas “sunset clause” atau klausa matahari bernam dalam pindaan akta ini, maka saya cadangkan untuk benamkan sajalah akta ini.

Dengan ini, Batu Kawan menolak bukan sahaja pindaan ini tetapi Akta SOSMA yang ketinggalan zaman dan zalim ini.

Sekian, terima kasih.