Skip to content

Laporan Ketua Audit Negara Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan 2021

PAC bimbang dengan trend peningkatan hutang Kerajaan Persekutuan yang terus meningkat saban tahun apabila mendapati bahawa hutang Kerajaan Persekutuan pada tahun 2021 berjumlah RM979.814 bilion iaitu 63.4% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat daripada RM879.560 bilion pada tahun 2020 iaitu peningkatan sebanyak RM100 bilion.

Peningkatan itu juga menyebabkan liabiliti keseluruhan Kerajaan Persekutuan pada tahun 2021 kini berjumlah RM1.298 trilion iaitu 84% daripada KDNK negara.

Perkara itu didedahkan Ketua Audit Negara, Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid ketika taklimat Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan Tahun 2021 kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara, hari ini.

Walaupun Penyata Kewangan Kerajaan Tahun 2021 itu diberikan Sijil Ketua Audit Negara tanpa teguran, terdapat perkara-perkara ditegaskan Ketua Audit Negara yang perlu diberikan perhatian oleh Kerajaan.

Antaranya, penegasan perkara termasuk Bayaran balik pinjaman matang menggunakan pinjaman baharu, Pengurangan peratusan perbelanjaan pembangunan, Peningkatan Hutang Persekutuan dan Pengiktirafan berbeza dengan prinsip pengiktirafan hasil asas tunai ubah suai.

AGIHAN TERIMAAN PINJAMAN KASAR RM217.201 BILION

Pada tahun 2021, Kerajaan membuat pinjaman kasar berjumlah RM217.201 bilion, meningkat sebanyak 11.6% daripada RM194.55 bilion pada tahun 2020. Sebanyak 52.4% atau RM113.764 bilion digunakan untuk bayaran prinsipal pinjaman matang.

Pinjaman kasar yang dipindah ke Kumpulan Wang Pembangunan adalah sebanyak RM62.317 bilion, bersamaan dengan 28.7% daripada julah pinjaman. Manakala pindahan ke Kumpulan Wang Covid adalah sebanyak RM38 bilion atau 17.5%.

PERATUSAN PERBELANJAAN PEMBANGUNAN

Daripada jumlah RM62.317 bilion yang dipinda ke Kumpulan Wang Pembangunan, hanya RM40.994 bilion (65.8%) digunakan untuk tujuan Perbelanjaan Pembangunan, berbanding dengan RM37.530 bilion (77.3%).

Manakala sejumlah RM12.612 bilion (20.2%) digunakan untuk tujuan menanggung Liabiliti PFI dan Komitmen Jaminan, dan RM8.711 bilion (14%) digunakan untuk tujuan Pengelasan Belanja Mengurus Kepada Pembangunan.

PEMBAYARAN FAEDAH PINJAMAN MELALUI KUTIPAN HASIL

Berkenaan dengan pembayaran faedah pinjaman, 16.3% daripada kutipan hasil digunakan untuk tujuan tersebut. Maksudnya, setiap RM1 hasil yang dikutip, maka 16 sen adalah digunakan untuk bayaran faedah pinjaman.

Sehubungan itu, PAC terus komited memainkan peranan semak dan imbang terhadap cabang Eksekutif dalam pengurusan kewangan dan perolehan bagi memastikan ia mematuhi prosedur serta tatacara yang ditetapkan seperti diperuntukkan dalam Sistem Demokrasi Raja Berperlembagaan di negara ini.