Kementerian Pertahanan (MINDEF) semalam, membentangkan tindakan yang diambil terhadap tujuh (7) syor Jawatankuasa yang dinyatakan dalam Laporan PAC berhubung Perolehan Kapal Littoral Combatant Ship (LCS) bagi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Prosiding selama 2 jam berakhir jam 1 petang dihadiri Ketua Setiausaha MINDEF, Datuk Seri Muez Abdul Aziz serta Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pengurusan) Kementerian Kewangan, Datin Rashidah Mohd Sies.
Dalam sesi soal jawab prosiding, PAC telah membangkitkan isu pemadaman (redacted) sebahagian maklumat dalam Laporan Pengauditan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) oleh JPM / MINDEF, dan Laporan Pengauditan Forensik Kapal LCS yang disediakan Boustead Heavy Industries Corporation (BHIC), syarikat pembina Kapal LCS.
Dalam sesi sebelum ini, BHIC menjelaskan bahawa syarikat berkenaan menerima Laporan Forensik yang sudah dipadamkan (redacted) daripada MINDEF sebelum menyerahkan kepada Sekretariat PAC untuk dimuatnaik dalam laman web PAC. Namun, KSU MINDEF Datuk Seri Muez telah menyatakan kepada PAC bahawa MINDEF tidak pernah menerima laporan berkenaan daripada pihak BHIC dan tidak terlibat dalam pemadaman sebahagian Laporan forensik tersebut.
PAC dengan ini meminta supaya MINDEF mendapat penjelasan daripada BHIC dan mengemukakan ulasan kepada PAC berkenaan dengan apa yang sebenarnya telah
berlaku.
Berhubung Laporan JKSTUPKK pula, PAC berpandangan bahawa tiada keperluan untuk Kerajaan memadam (redacted) sebahagian maklumat di dalamnya. PAC juga tidak puas hati dan tidak menerima penjelasan daripada Jabatan Peguam Negara berkenaan dengan alasan pemadaman tersebut. PAC menegaskan supaya laporan berkenaan dinyahklasifikasi sepenuhnya seperti yang dinyatakan dalam syor di dalam laporan Jawatankuasa ini dan kabinet seharusnya memberikan arahan sedemikian.
PAC juga dimaklumkan oleh SPRM bahawa lima (5) kertas siasatan telah dibuka ke atas isu ini, iaitu satu (1) pada Februari 2021, dua (2) pada Januari 2022 (satu (1) telah didakwa, satu (1) telah selesai siasatan dan diserahkan kepada AGC) dan satu (1) masing-masing pada bulan Februari 2022 dan Ogos 2022 yang masih dalam tindakan siasatan.
PAC akan memberikan ulasan terhadap semua tujuh (7) tindakan yang sudah diambil MINDEF terhadap syor laporan jawatankuasa ini untuk Perolehan Kapal LCS dan akan membentangkan laporan ini di Parlimen kelak.