Skip to content

Laporan PAC mengenai pembangunan dan perolehan aplikasi MySejahtera di bawah Kementerian Kesihtan, Kementerian Kewangan dan Jabatan Perdana Menteri

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) membentangkan Laporan Pembangunan dan Perolehan Aplikasi MySejahtera di bawah Kementerian Kesihatan, Kementerian Kewangan dan Jabatan Perdana Menteri di Parlimen, hari ini.

PAC mengadakan dua (2) prosiding berhubung isu ini, pada 14 April dan 21 April 2022 dengan memanggil saksi-saksi seperti berikut:

  1. YB Khairy Jamaluddin bin Abu Bakar, Menteri Kesihatan Malaysia;
  2. YB Senator Datuk Seri Utama Tengku Zafrul bin Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan Malaysia;
  3. YBhg. Dato’ Asri bin Hamidon, Ketua Setiausaha Perbendaharaan;
  4. YBhg Datuk Harjeet Singh a/l Hardev Singh, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia;
  5. YBhg. Dato’ Sollehuddin Alyubi bin Zakaria, Timbalan Ketua Setiausaha Kewangan dan Pembangunan, Jabatan Perdana Menteri;
  6. YBhg. Datuk Seri Dr. Yusof bin Ismail, Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU):
  7. YBhg. Datuk Haji Rodzi bin Md Saad, Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN); dan
  8. YBrs. Tuan Rahamzan bin Hashim, Ketua Eksekutif Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA).

PAC membuat lapan (8) rumusan hasil daripada prosiding seperti berikut:

  1. Pelantikan KPISoft (Entomo) sebagai pembangun aplikasi MySejahtera pada bulan Mac 2020 didapati adalah tidak teratur serta tidak berlandaskan prosedur/tatacara perolehan Kerajaan. Tiada sebarang minit ataupun dokumen sokongan yang wujud berkenaan dengan pelantikan tersebut. Satu-satunya dokumen adalah NDA yang ditandatangani antara MKN (bagi pihak Kerajaan) dengan KPISoft.
  2. Konsep CSR yang dicadangkan oleh KPISoft (Entomo) telah menyebabkan Kerajaan tidak jelas akan hala tuju sebenar perolehan aplikasi MySejahtera. Kerajaan adalah keliru dari segi pelantikan KPISoft, konsep CSR dan tempohnya serta pemilikan aplikasi MySejahtera.
  3. Konsep CSR dilihat telah digunakan sebagai mekanisme untuk mendapatkan projek kerajaan tanpa melalui prosedur perolehan yang sepatutnya. Tidak ada dokumen yang menyatakan CSR ini adalah bertempoh satu (1) tahun. Kerajaan seolah-olah tidak mempunyai pilihan (stuck) dan terpaksa membuat keputusan untuk melantik MySJ Sdn. Bhd. secara rundingan terus. Pembangunan dan penggunaan berterusan aplikasi MySejahtera sepatutnya kekal bersifat CSR.
  4. Syarikat pembangun aplikasi MySejahtera pernah mencadangkan agar aplikasi ini dikomersialkan. Ini menunjukkan potensi aplikasi MySejahtera sebagai satu (1) aplikasi nasional yang amat bernilai. Keputusan Kerajaan menolak cadangan tersebut adalah wajar demi memastikan keselamatan data peribadi pengguna aplikasi dilindungi.
  5. MOF telah menetapkan harga siling sebanyak RM196 juta untuk perolehan MySejahtera bagi tempoh dua (2) tahun (RM98 juta setahun). Amaun ini adalah tinggi dan bercanggah dengan konsep CSR.
  6. Pihak Kerajaan telah memberikan jaminan bahawa data dalam aplikasi MySejahtera adalah selamat dan tidak akan disalahguna. Kerajaan menegaskan ia adalah pemilik aplikasi MySejahtera, namun syarikat pembangun aplikasi MySejahtera iaitu KPISoft (Entomo) telah didapati membuat perakuan bahawa ia pemilik harta intelek aplikasi MySejahtera. Keputusan Jemaah Menteri yang merujuk supaya pihak Kerajaan mengambil alih pemilikan aplikasi MySejahtera daripada pembangun aplikasi menunjukkan aplikasi tersebut secara prinsipnya masih dimiliki oleh pembangun aplikasi.
  7. Setakat April 2022, Kerajaan didapati masih belum mendaftarkan harta intelek (IP) bagi aplikasi MySejahtera di MyIPO yang boleh menyebabkan aplikasi ini dituntut pemilikannya oleh pembangun aplikasi.
  8. Pengambilalihan pembangunan dan pengoperasian aplikasi MySejahtera boleh dilaksanakan oleh MAMPU yang mempunyai kepakaran dan keupayaan sebagai satu Jabatan Teknikal ICT Kerajaan.

Sebagai langkah penambahbaikan, PAC Parlimen mengesyorkan empat (4) perkara kepada Kerajaan untuk dilaksanakan seperti berikut:

  1. Kerajaan perlu menyemak semula kewajaran pemberian kontrak aplikasi MySejahtera secara rundingan terus yang dibuat melalui Keputusan Jemaah Menteri bertarikh 26 November 2021. Kerajaan harus mengambilalih keseluruhan aplikasi berkenaan melalui MAMPU.
  2. Kerajaan perlu mengambil pendekatan yang lebih prudent dalam segala proses perolehan. Segala tawaran melalui CSR adalah dialu-alukan. Bagaimanapun, terma-terma berkenaan dengan tawaran CSR harus dinyatakan dengan jelas dan tidak boleh dijadikan sebagai jalan alternatif untuk rundingan terus. Garis panduan hendaklah diwujudkan untuk tadbir urus tawaran CSR.
  3. Kerajaan harus memastikan pemilikan penuh Kerajaan dalam aplikasi MySejahtera. Kerajaan perlu menjamin keselamatan data peribadi pengguna dalam aplikasi MySejahtera dan memastikan data berkenaan tidak disalahguna oleh mana-mana pihak.
  4. Kerajaan perlu meneruskan usaha untuk menjadikan aplikasi MySejahtera sebagai alat pengurusan kesihatan awam negara selaras dengan pelan pendigitalan perkhidmatan kesihatan.

Orang ramai yang berminat untuk membaca dan meneliti Laporan PAC Parlimen berhubung Pembangunan dan Perolehan Aplikasi MySejahtera di bawah Kementerian Kesihatan, Kementerian Kewangan dan Jabatan Perdana Menteri boleh memuat turun (download) laporan berkenaan di laman web PAC di alamat www.parlimen.gov.my/pac