Menurut laporan Sin Chew Daily bertarikh 19hb Julai 2017, ROS tidak mengiktiraf pemilihan semula Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) yang dijalankan pada 29 September 2013 kononnya kerana DAP mempunyai 120 buah cawangan hantu.
Tuduhan tersebut langsung tidak disertakan dengan sebarang bukti. Maka tuduhan tersebut adalah tidak benar.
Pihak kami ingin menegaskan bahawa pemilihan semula CEC dalam Kongres Khas DAP pada 29 September 2013 adalah berpandukan sepenuhnya kepada peraturan-peraturan yang termaktub dalam Perlembagaan DAP.
Juga perlu ditegaskan bahawa pihak kami telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada ROS selama ini. Setiap dokumen dan senarai nama yang diminta daripada DAP, telahpun diserahkan kepada ROS.
DAP sedang berusaha untuk mengaturkan pertemuan dengan Ketua Pengarah ROS. Kami meminta pegawai kanan ROS untuk berjumpa dengan pihak DAP dengan secepat mungkin. Kami juga berharap ROS dapat menunjukkan bukti tentang tuduhan mereka.