Skip to content

Si kleptokrat, jangan cuba menipu mamak!

Setelah HARAPAN menembusi Kota Tinggi baru-baru ini, Datuk Seri Najib Razak kelihatan semakin tidak tentu arah dan putus harapan. Gelombang besar tsunami perubahan dalam kalangan pengundi Melayu sedang membadai.

Najib Razak dan konco-konconya nampak betul-betul mengelupur dengan keadaan yang berlaku. Hinggakan saya pun agak terkejut apabila Najib Razak memainkan isu kaum dan bumiputera.

Konsep 1Malaysia yang diuar-uarkan oleh Barisan Nasional selama ini pun sudah lapuk. Sokongan Melayu nampaknya sudah semakin menurun. Sekarang Najib mula menadah tangan kepada komuniti India Muslim yang populasinya kurang daripada 10%.

UMNO ternyata sudah kehilangan sokongan dalam kalangan orang Melayu sehingga terpaksa meraih sokongan daripada komuniti India Muslim yang begitu kecil bilangannya.

Mungkin mereka lupa bahawa baru sahaja beberapa bulan lalu komuniti India Muslim dihina oleh Setiausaha Agung UMNO Tengku Adnan yang sesuka hatinya menuduh kononnya harga makanan di restoran yang diusahakan oleh kaum India Muslim dinaikkan oleh komuniti tedrsebut, tanpa mengambil kira harga runcit makanan yang dimonopoli oleh kroni-kroni UMNO sendiri.

Saya bangga dilahirkan sebagai sebahagian daripada komuniti India Muslim, dan berpendapat tidak perlu lagi untuk kami menyokong rejim kleptrokat Najib Razak dan Barisan Nasional.

Permainan politik perkauman bukan sahaja akan merugikan komuniti India Muslim tetapi juga rakyat Malaysia secara umum.

Saya menyeru rakyat Malaysia semuanya untuk bersama-sama membangunkan negara sebagai satu bangsa yang harmoni, saling memahami dan bertoleransi. Bangsa yang boleh duduk berbincang meleraikan kekusutan, sambil menikmati hidangan roti canai dan teh tarik.

Di mana? Sudah tentu di kedai mamak!