Skip to content

Lee Kee Hiong mencipta sejarah sebagai orang pertama yang menjadi calon PH–BN dan bukannya hanya sebagai calon PH

Saya berbangga untuk berada di sini bersama dengan Lee Kee Hiong kerana dia telah mencipta sejarah sebagai adalah orang pertama yang menjadi calon Pakatan Harapan–Barisan Nasional dan bukannya hanya sebagai calon Pakatan Harapan di kerusi Dewan Undangan Negeri untuk Kuala Kubu Baharu.

Enam pilihan raya negeri pada 12 Ogos ini adalah lebih penting berbanding dengan kerusi-kerusi ini sendiri atau enam negeri-negeri Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan, dan Terengganu, kerana pilihan raya ini akan memberikan kesan kepada masa hadapan Malaysia.

12 Ogos akan menentukan sama ada Malaysia akan bangkit semula menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia atau kita akan terus ditinggalkan di belakang satu demi satu negara dan menjadi sebuah negara yang berpecah belah, gagal, dan korup dalam dekad-dekad yang akan datang.

Semalam, negara kita telah memperingati Tun Dr. Ismail Abdul Rahman, yang merupakan Timbalan Perdana Menteri kepada Tun Razak.

Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong telah bertitah menyeru kepada semua rakyat Malaysia, terutamanya para pemimpin untuk menghargai dan mencontohi kepimpinan cemerlang dan ketokohan yang ditunjukkan oleh mendiang Tun Ismail dalam membina negara.

Boleh dikatakan yang majlis makan tengahari hari ini bersama dengan para pemimpin MIC di Hulu Selangor untuk menyokong pencalonan Lee Kee Hiong ada selari dengan titah Yang di Pertuan Agong untuk kita memperingati dan mencontohi Tun Ismail dalam membina negara.

Hanya ada satu isu sahaja dalam enam pilihan raya pada 12 Ogos ini – sama ada Malaysia akan bangkit semula menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia atau kita terus ditinggalkan di belakang satu demi satu negara dan menjadi sebuah negara yang berpecah belah, gagal, dan korup dalam dekad-dekad yang akan datang.

Pertarungan di enam negeri ini adalah antara gabungan PH–BN dengan Perikatan Nasional (PN) yang dibentuk PAS dan Bersatu dan sebarang kelemahan terhadap gabungan PH–BN hanya akan memberikan manfaat kepada PN.

Gabungan PH–BN ingin menyaksikan Malaysia bangkit semula menjadi satu kuasa hebat dunia, dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah mengumumkan rancangan Ekonomi Madani yang menyokong usaha ini, iaitu:

  • Menjadi antara 30 ekonomi terbesar dunia dari segi kadar keluaran dalam negara kasar. Malaysia buat masa ini berada di tempat ke-35.
  • Berada dalam kedudukan 12 teratas dalam Indeks Daya Saing Dunia IMD. Kita sedang berada di tempat ke-27.
  • Tempat 25 ke atas dalam Indeks Pembangunan Manusia PBB. Tempat semasa adalah ke-62.
  • Tempat 25 ke atas dalam Indeks Persepsi Rasuah. Tempat semasa adalah ke-61.

Kita perlu sokongan gabungan PH–BN supaya Malaysia dapat bangkit semula dan menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia, kerana PN tidak mempunyai apa-apa rancangan untuk meningkatkan kedudukan Malaysia di persada dunia.

Malah, dari cara Pengerusi Kebangsaan Gerakan dilayan dengan cara yang memalukan dalam satu majlis PN di Pulau Pinang, tidak ada sebarang keraguan lagi yang PN tidak mempunyai sebarang rancangan untuk menyatukan rakyat Malaysia yang terbentuk dari latar belakang pelbagai kaum, agama, atau kawasan untuk membangkitkan Malaysia menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia.

Saya kagum dengan calon MUDA untuk idealisme mereka, tetapi mereka tidak sepatutnya memecahkan undi dalam pertarungan besar di antara nasib Malaysia sebagai sebuah negara hebat bertaraf dunia dan sebagai sebuah negara yang berpecah belah, gagal, dan korup ini.