Skip to content

‘Lockdown’ kendiri adalah pendekatan penting dalam usaha memutuskan rantaian perebakan jangkitan pandemik COVID-19 kini

‘Lockdown’ kendiri adalah pendekatan penting dalam usaha memutuskan rantaian perebakan jangkitan pandemik COVID-19 kini. Walaupun kadar R-naught (R-t) bertarikh 23 Mei 2021 bagi Pulau Pinang adalah terendah iaitu 1.06 berbanding negeri-negeri lain dalam negara, namun laporan kes harian sejak minggu lalu masih menunjukkan angka yang tinggi.

Di Pulau Pinang, kluster perkilangan masih direkodkan sebagai tertinggi dengan pertambahan dua laporan terbaru semalam. Selepas Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) ‘berdiam diri’ terhadap program ‘Safe@Work’ yang sepatutnya bermula pada 1 April 2021, Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif tambahan bekerjasama dengan Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) Pulau Pinang berhubung saringan massa – ‘on-site pooled saliva RT-PCR screening’. Saringan telah dimulakan pada Sabtu, 22 Mei 2021 dan sehingga hari ini (25 Mei 2021), seramai 538 individu telah disaring.

Sebagai tambahan, saya berharap sektor perkilangan/industri dapat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) peratusan penggiliran kerja terkini yang diumumkan. Usahasama serta kesepakatan kita adalah penting dalam melandaikan lengkuk jangkitan serta mengelakkan kelumpuhan sektor perubatan negeri kita secara keseluruhan.

Bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), saya sekali lagi menyeru supaya ia disegerakan kepada mereka yang tersenarai dalam sektor perkilangan/industri dan juga kepada yang berada dalam zon merah.