DAP mengucapkan Selamat Hari Wesak kepada semua penganut Buddha, yang disambut dalam PKP 3.0. Semoga setiap rakyat Malaysia dikurniakan kesihatan, keselamatan, dan keamanan yang baik serta simpati kepada semua mangsa COVID-19 dan kemalangan tren LRT semalam. Kami berdoa agar mereka dan orang yang mereka sayangi diberi kekuatan, kesabaran dan ketahanan untuk mengatasi keperitan dan penderitaan dari tragedi ini.
Kita menunggu hasil siasatan rasmi mengenai bagaimana dua tren LRT di laluan Kelana Jaya boleh bertembung, mencederakan 213 penumpang di mana 47 daripadanya cedera parah. Kerajaan PN perlu memberi jaminan hukuman segera kepada mereka yang bertanggungjawab, kerana kesilapan besar membiarkan dua tren yang bergerak ke arah yang berlawanan berada di landasan yang sama.
Isu utama di negara ini masih merupakan kegagalan besar kerajaan untuk menguruskan wabak COVID-19 yang mencatatkan 61 kematian semalam dan 7 hari berturut-turut kes COVID-19 melebihi 6,000. Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah mengatakan bahawa nombor pembiakan asas Covid-19 (R0) adalah 1.21 di seluruh negara pada 23 Mei, yang tertinggi setakat ini tahun ini. Pada 14 Mei, Kementerian Kesihatan (KKM) meramalkan bahawa kes harian COVID-19 boleh melebihi 8,000 pada bulan Jun ketika R0 berada di 1.14, dan amat menakutkan untuk memikirkan berapa tinggi lagi kes harian COVID-19 akan meningkat apabila R0 pada 1.21.
Rakyat telah berputus asa dengan kemampuan Kerajaan PN untuk mengurus dan mengatasi COVID-19 dengan baik, dan menaruh harapan mereka sepenuhnya pada pemberian vaksin dan imunisasi awal. Malangnya, kelambatan pembelian vaksin kerana kerajaan mendakwa tidak mempunyai wang untuk membeli lebih awal, ditambah dengan penghantaran bekalan vaksin yang sepatutnya tiba pada bulan Jun telah ditunda hingga bulan Julai, mengakibatkan kadar vaksinasi menjadi amat perlahan. Sebilangan dari 2,309 kematian sehingga kini dapat dielakkan jika Program Imunisasi Kebangsaan dilaksanakan lebih cepat dan kadar vaksinasi lebih tinggi.
Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob telah menolak dakwaan bahawa negara ini menghadapi kekurangan bekalan vaksin di tengah-tengah lonjakan kes COVID-19. Ini bercanggah dengan kenyataan dan fakta di lapangan ketika begitu banyak orang Malaysia terdesak mencari vaksin untuk orang yang mereka sayangi dan orang tua mereka bagi melindungi mereka daripada varian ganas COVID-19.
Sekiranya kita mahu merayakan Hari Wesak secara normal tahun depan, maka kerajaan perlu melakukan “reset” dengan berpandukan pada pengurusan profesional atau sains dan data, dan BUKAN pada keputusan mengejut atau amalan dua darjat dalam penguatkuasaan atau melakukan pusing U dalam dasar dan SOP COVID-19.