Pengurusan sisa pepejal ini adalah satu proses yang rumit dan kritikal. Loji Pembakaran (Insinerator) adalah salah satu alternatif dalam melupuskan sisa pepejal kerana ia membabitkan ruang yang kecil berbanding tapak pelupusan.
Walau bagaimanapun, loji pembakaran di Cameron Highlands berdepan masalah melupuskan sampah basah secara sempurna, selain isu pencemaran alam sekitar membabitkan pelepasan gas dan bahan kimia berbahaya serta cecair larut resap.
Lebih-lebih lagi Cameron Highlands adalah lokasi pelancongan. Isu pencemaran udara bukan sahaja mencetuskan kebimbangan rakyat tempatan malah memberikan gambaran buruk kepada pelancong.
Untuk makluman semua, loji pembakaran itu mula dibangunkan pada 2010 menerusi kontrak siap guna kepada satu syarikat tempatan, namun kontrak mengurus dan menyelenggara itu dibatalkan sekitar 2014/2015, berikutan masalah pencemaran serta tahap ketersediaan yang rendah kerana perlu diselenggara dengan kerap.
Kini, pengendalian loji tersebut dianugerahkan kepada Alam Flora Environmental Solution Sdn Bhd (AFES), dulu dikenali DRB HICOM Environment Services sejak tahun 2017.
Kontrak pengendalian loji tersebut akan tamat pada Julai 2023, iaitu tahun depan.
Isu terbesar loji tersebut adalah pembakaran sampah tidak sempurna seterusnya menghasilkan asap hitam dan abu.
Isu ini berpunca daripada keadaan sampah yang basah. Kandungan kelembapan dalam sampah di Malaysia adalah sekitar 55 hingga 70 peratus, dan cuaca yang sejuk dan kelembapan tinggi di Cameron Highlands, menyebabkan sampah tidak boleh dibakar dengan sempurna.
Walaupun pihak kontraktor telah menjaminkan penggunaan teknologi yang baru untuk penambahbaikan loji pembakaran, namun, pasukan saya masih merekodkan pelepasan asap hitam dan abu yang berbau setiap bulan sejak tahun 2019.
Rekod yang terkini adalah pada 5 Mac bulan ini.
Oleh itu, saya memohon agar pihak berkuasa berkenaan dan pihak kerajaan boleh meninjau semula kebolehlaksanaan loji pembakaran tersebut.
Sekiranya isu asap hitam berbau dan abu tidak boleh diselesaikan sempurna, maka saya ingin mencadangkan supaya kontrak pengendalian loji pembakaran tersebut tidak wajar diteruskan selepas tamat pada tahun 2023.
Cadangan ini juga selari dengan prinsip ESG yang ditekankan dalam Titah Diraja.
Saya ingin menegaskan bahawa loji pembakaran bukannya satu-satu solusi untuk melupuskan sisa pepejal. Memandangkan cuaca yang sejuk dan kelembapan tinggi di kawasan Cameron Highlands, adalah lebih sesuai pihak kerajaan menggalakkan amalan pengasingan sisa pepejal di punca dan kitar semula 3R.
Melalui pembudayaan amalan pengasingan sisa pepejal dan 3R, masyarakat akan menghargai sisa pepejal sebagai satu sumber baru yang dapat digunakan sebagai alternatif kepada sumber bahan mentah asli.
Ini secara tidak langsung boleh memastikan sumber alam semulajadi diuruskan secara bijak dan lestari demi kebaikan generasi masa hadapan serta alam sekitar.
Sebagai sebuah negeri yang sedang bergerak ke arah status negeri maju, Negeri Pahang harus meningkatkan aktiviti amalan 3R, pengasingan sisa pepejal isi rumah dan kadar kitar semula yang membanggakan di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.