Dalam kenyataan terbaru Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki mengenai projek RT, beliau tidak sebut SPRM akan turut menyiasat projek RT zaman PN dan BN. Beliau hanya menyatakan bahawa SPRM masih membuat analisis terhadap kesemua projek RT oleh PH sama ada ia mempunyai unsur rasuah atau sebaliknya.
Macam mana Azam Baki boleh menegakkan slogan SPRM “adil, tegas dan amanah” tanpa turut mengkaji projek RT sewaktu pemerintahan BN dan PN sama ada wujud unsur rasuah? Dengan hanya mengkaji projek RT PH dan tidaknya projek RT PN dan BN, SPRM sekali lagi membuktikan bahawa mereka mengamalkan “antara dua darjat” atau “double-standard”.
Projek RT di bawah inisiatif PH bukanlah RM6.61 bilion seperti yang diuar-uarkan oleh Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz, tetapi sebenarnya hanya 5.3% daripada jumlah itu, yakni RM352 juta! Ini adalah kerana 95% daripada projek RM6.61 bilion ialah projek warisan atau sambungan dari zaman BN.
Zuraida Kamaruddin Main Helah Politik Apabila Cuba Kaitkan Keputusan Kabinet Untuk Potong 10% Daripada Harga Kontrak BN Sebagai Bukti Saya Sendiri Yang Buat Rundingan Terus.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan(KPKT) Zuraida Kamaruddin main helah politik bila cuba kaitkan keputusan Kabinet pada 2018 untuk memotong 10% daripada harga kontrak yang diluluskan oleh BN sebagai bukti saya sendiri yang buat rundingan terus. Zuraida harus bercakap benar bahawa beliau hadir dalam mesyuarat Kabinet yang buat keputusan memotong harga kontrak BN sebanyak 10% demi menjimatkan wang negara.
Beliau tidak boleh berselindung di belakang SPRM, untuk tidak mendedahkan semua surat yang berkaitan dengan Projek Sisa Pepejal Taman Beringin atau PSPTB bernilai RM170.3 juta tersebut. Ini berikutan pengakuan beliau dalam laporan FMT pada 3 September 2020, bahawa memang ada surat permohonan dari Ketua Setiausaha KPKT kepada Kementerian Kewangan(MOF) agar PSPTB dijalankan secara rundingan terus.
Tidak mungkin projek sebesar ini diluluskan tanpa pengetahuan beliau. Sekiranya benar permohonan dibuat tanpa pengetahuan Zuraida, KSU boleh dikenakan tindakan disiplin. Saya tidak percaya bahawa KSU KPKT ialah seorang yang sanggup bertindak “khianat” sedemikian walaupun terhadap seorang Menteri “pengkhianat” PH.
Jika terdapat mana-mana cadangan atau permohonan kepada MOF yang berkaitan dengan KPKT, perkara tersebut akan dirujuk dahulu kepada KPKT untuk proses seterusnya. Sekiranya ada surat arahan dari saya, Zuraida sudah tentu akan dedahkannya jauh lebih awal.
Demi kebenaran dan ketelusan, dedahkan SEMUA surat berkaitan dari saya sekiranya ada, Zuraida sendiri, Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan KSU KPKT. Zuraida tidak harus mendakwa bahawa ada surat sedemikitan tetapi tidak berani mendedahkan surat berkenaan secara umum.
Biar fakta bicara dengan sendirinya. Berani kerana benar. Amar makruf nahi mungkar.