Skip to content

SPRM telah berbohong kerana menafikan mereka cuba menyekat saya memasuki Sabah dan juga mencereboh hak Sabah dengan mencabul kuasa imigresen Ketua Menteri Sabah

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah berbohong kerana menafikan bahawa mereka telah cuba menyekat saya memasuki Sabah dan juga menceroboh hak Sabah dengan mencabul kuasa Imigresen Ketua Menteri Sabah.

Ketua Menteri sementara Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal telah mengesahkan secara peribadi kepada saya, laporan berita yang memetik beliau mengatakan bahawa pada awalnya saya telah dihalang memasuki Sabah kerana saya berada di dalam senarai pemantauan SPRM. Ini membuktikan bahawa Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki berbohong apabila dia menafikan bahawa SPRM telah melakukan sekatan kepada saya untuk memasuki Sabah.

Saya telah diberikan pas lawatan sosial pada pukul 11.54 malam hari Selasa, dan ketika saya hendak memasuki kenderaan untuk meninggalkan lapangan terbang, saya telah dipanggil kembali ke Pejabat Imigresen Lapangan Terbang Kota Kinabalu. Saya diberitahu bahawa kemasukan saya ke Sabah “disekat” oleh SPRM. Setelah saya menekankan dengan tegas kepada mereka bahawa hanya Ketua Menteri Sabah dan bukan SPRM yang berhak menyekat saya memasuki Sabah, barulah pegawai Imigresen membenarkan saya beredar selepas 40 minit.

Kini Shafie telah mengesahkan bahawa dia tidak melarang saya memasuki Sabah, tetapi dimaklumkan oleh Pengarah Jabatan Imigresen Sabah bahawa perintah “sekatan” telah dikeluarkan oleh SPRM, Azam Baki harus tampil untuk berlaku jujur dan benar. Sekiranya SPRM boleh berbohong tentang perkara yang jelas sebegini, ada kebimbangan yang benar bahawa SPRM sengaja menyasarkan saya secara sengaja semata-mata kerana alasan politik.

Layanan “Antara Dua Darjat” SPRM

Perkara ini menimbulkan keraguan serius terhadap ketidakberpihakan, kebebasan, integriti dan profesionalisme SPRM. Kecuali Azam Baki dengan berani mengakui bahawa dia tidak bercakap benar, maka slogan SPRM “adil, tegas, amanah” hanyalah kata-kata kosong dan sekadar menanam tebu di bibir.

SPRM dengan jelas mengamalkan layanan “antara dua darjat” ataupun double standard apabila mereka tidak mengenakan sekatan yang sama kepada bekas Perdana Menteri, Najib Tun Razak atau bekas Menteri Dalam Negeri, Zahid Hamidi yang memasuki Sabah, yang juga didakwa melakukan rasuah. Penyasaran pilih kasih seperti ini oleh SPRM adalah penyalahgunaan kuasa untuk “membuli dan mengaibkan” saya.

Jangan Menceroboh Kuasa Dan Hak Sabah

SPRM telah menyalahgunakan kuasa mereka kerana kuasa untuk menghalang rakyat Malaysia yang bukan dari Sabah, memasuki Sabah terletak hanya pada Ketua Menteri Sabah dan bukan kerajaan Persekutuan. Menceroboh kuasa Ketua Menteri Sabah, adalah pelanggaran yang jelas terhadap janji-janji yang dibuat kepada Sabah yang diberikan di bawah Perjanjian Malaysia 1963, Perlembagaan Persekutuan dan tidak menghormati hak-hak Sabah dan rakyat Sabah.

Shafie sememangnya kesal kerana kuasa beliau dalam isu imigresen yang begitu penting telah dilanggar. Rakyat Sabah tidak boleh membiarkan agensi kerajaan Persekutuan merampas kuasa dan hak Sabah. Ini akan menjadi salah satu isu utama dalam pilihan raya umum Sabah yang akan datang. Rakyat Sabah harus memilih sama ada Sabah adalah untuk rakyat Sabah demi menentukan nasib mereka sendiri.