Kematian Mantan Setiausaha Agung DAP, Kerk Kim Hock yang meninggal dunia pada 9 Ogos 2017 amat mengejutkan dan menghibakan anggota dan penyokong DAP, serta rakyat Malaysia yang cintakan tanah air.
Kematian Kerk adalah kehilangan yang amat besar, kerana beliau telah melalui kehidupan yang sungguh bermakna, sebagai seorang pemimpin mahasiswa (beliau pernah menjadi presiden Monash University Malaysian Students Union), seorang pemimpin politik dan juga seorang pejuang kanser yang berani.
Perjalanan politiknya bermula pada tahun 1986 apabila beliau menyertai DAP dan memenangi kerusi DUN Durian Daun pada tahun tersebut. Pada Oktober 1987, Kerk ditahan bersama-sama 16 lagi pimpinan DAP di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri.
Pada tahun 1990, Kerk memenangi kerusi Parlimen Pasir Pinji dan pada kemudian pada tahun 1999, beliau memenangi kerusi Parlimen Kota Melaka. Kerk juga menjadi Setiausaha Agung DAP yang keempat dan menjalankan penambahbaikan yang sangat bermakna di dalam parti. Beliau meletakkan semua jawatan parti setelah tewas dalam pilihanraya umum pada tahun 2004.
Kerk didiagnos dengan kanser rektal pada tahun 2002. Beliau menjalani kehidupan normal dan dan penuh harapan selama 13 tahun sebelum kanser tersebut kembali menyerang pada tahun 2015. Kerk kekal menjadi sahabat karib kepada ramai pemimpin parti, sehinggalah beliau meninggal dunia.
Sebagai penghormatan buat pemimpin yang hebat namun rendah hati ini, DAP menjemput seluruh rakyat Malaysia yang menghargai sumbangannya untuk sama-sama memperingati Kerk dan kehidupannya, serta kembali mendidik diri tentang sejarah dan mencari kekuatan dalam semangat setiakawan; demi bergerak maju bersama-sama ke arah Malaysia yang lebih baik.
Tarikh: Rabu 23 Ogos 2017
Masa: 8.00 p.m. – 10.30 p.m.
Tempat: Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor (KLSCAH)