Skip to content

Makin tenat di Johor Utara! Covid meragut 106 nyawa pada Julai di Muar. KP Kesihatan dipanggil turun padang segera menambah sumber perubatan di kampung dan kawasan Perdana Menteri Mahiaddin Yassin

Keadaan wabak Covid semakin tenat di daerah-daerah di utara Johor dengan bilangan nyawa terkorban yang meningkat mendadak. Dalam bulan Julai yang lalu, kes kematian di daerah Muar, Tangkak dan Segamat berjumlah seratus enam puluh lapan (168) orang, di mana seratus enam (106) kes berada di dalam kawasan Muar. Kini Muar merupakan daerah tertinggi dari segi kadar kematian Covid. Trend peningkatan yang mendadak amat membimbangkan.

Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Yassin berasal dari Muar. Kawasan beliau Pagoh dan Bukit Gambir merentasi sempadan kedua-dua daerah Muar dan Tangkak, masing-masing sedang ditimpa penularan wabak yang amat serius. Sekiranya kawasan PM pun dilihat semakin tidak terkawal dan serba kekurangan sumber perubatan untuk melawan Covid, maka tidak hairan mengapa rakyat resah dan hilang keyakinan pada keupayaan kerajaan. Kami memanggil Ketua Pengarah KKM Tan Sri Noor Hisham Abdullah untuk sendiri turun padang ke Muar dan Tangkak dan mengagihkan sumber perubatan yang mencukupi demi menyelamatkan keadaan di sini. Apa yang dilaksanakan setakat ini adalah tidak berkesan. Kerajaan perlu melipatgandakan usaha atau lebih nyawa manusia akan terkorban.

Berdasarkan statistik Jabatan Kesihatan Negeri Johor, kumulatif kes kematian Covid di Johor Utara sehingga bulan Mei 2021 masih pada tahap yang rendah dan terkawal. Namun, dari Mei hingga Julai, trend kematian meningkat begitu mendadak dengan 173 kematian di Muar, 107 kematian di Tangkak dan 40 kematian di Segamat (rujuk Rajah 1 dan 2 di Lampiran).

Pada bulan Mei dan Jun yang lalu, bilangan kes kematian Covid di Muar adalah 19 orang dan 46 orang masing-masing. Ini bermakna dalam tempoh tiga bulan purata kes kematian sehari telah meningkat dari 0.6 kes hingga ke 1.5 kes dan terus ke 3.4 kes pada bulan Julai. Merujuk kepada Rajah 2, cuma pada 4 Julai sahaja tiada kematian Covid di Muar manakala rekod tertinggi pula dicatatkan pada 20 Julai dan 25 Julai, masing-masing dengan TUJUH kematian.

Di seberang Sungai Muar, kumulatif kes positif jangkitan Covid mungkin nampak tidak seteruk Muar dengan 3,981 kes di Tangkak berbanding 11,950 kes di Muar. Namun apabila disemak teliti kadar kematian di Daerah Tangkak mencecah 2.69%, jauh mengatasi Muar (1.48%) dan angka purata untuk negeri Johor (1.03%).

Nota: Kumulatif kes positif Johor berjumlah 91,728 kes, jumlah nyawa terkorban ialah 841 orang.

Untuk Daerah Segamat pula, pada hujung tahun yang lalu masih merupakan kawasan hijau yang agak selamat. Namun penularan wabak berlaku begitu cepat pada 2021 dengan 2,546 kes positif setakat 31 Julai dengan 40 orang terkorban. Kadar kematian adalah setinggi 1.57%.

Sungai Muar, kumulatif kes positif jangkitan Covid nampak tidak seteruk Muar dengan 3981 kes di Tangkak berbanding 11,950 di Muar. Namun apabila disemak teliti kadar kematian di Daerah Tangkak setinggi 2.69%, jauh mengatasi Muar (1.48%) dan angka purata untuk negeri Johor (1.03%).

Persoalannya kenapa di Johor Utara khususnya daerah Muar bilangan dan kadar kematian begitu tinggi sejak bulan Julai 2021? Apakah terdapat varian baru antara kluster-kluster jangkitan yang melibatkan kilang-kilang di kawasan ini ataupun kekurangan doktor dan bekalan perubatan mengakibatkan rawatan lambat diterima dan nyawa demi nyawa tidak dapat diselamatkan?

Kerajaan harus cepat-cepat mencari punca dan penyelesaian dengan bersungguh-sungguh. Jangan lalai dan seolah-olah sudah bersikap biasa dengan nyawa-nyawa yang terkorban. Kalau di kawasan Perdana Menteri pun kes-kes kematian begitu teruk, usah bayangkan bagaimana keadaan di pekan-pekan dan kampung-kampung lain apabila penularan wabak berlaku di situ.

Kami menyeru KKM menjelaskan keadaaan sebenar bebanan sistem perubatan di Johor Utara, termasuk bilangan pesakit kategori empat dan lima, bilangan pesakit dalam ICU, katil-katil ICU yang dipenuhi di hospital-hospital kerajaan dalam kawasan yang terlibat. KKM perlu jujur dengan kekurangan dan masalah yang dihadapi. Kami dan masyarakat setempat sedia membantu sedaya upaya demi tanpa mengira bangsa, agama dan perbezaan politik.

Di sebalik setiap nyawa yang terkorban adalah tragedi kepada keluarga tersayang. Benar-benar panggilan kami supaya KP Noor Hisham turun padang ke Muar dan Tangkat dapat disahut segera.