Saya berasa amat kesal dengan tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang gagal memberikan laluan selamat kepada ahli-ahli Jawatankuasa Kira-Kira
Wang Negara (PAC) untuk prosiding PAC bersama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Parlimen, yang dijadualkan bermula pada pukul 10.30 pagi hari ini.
Dalam perjalanan saya ke Bangunan Parlimen, saya telah memaklumkan anggota polis yang bertugas di sekatan jalan raya berkenaan dengan tugasan
saya selaku Pengerusi PAC dan meminta supaya laluan diberikan tetapi tidak dibenarkan.
Perkara yang sama juga berlaku ke atas beberapa ahli PAC yang turut berhadapan dengan sekatan jalan raya walaupun kami mempunyai surat
panggilan mesyuarat yang ditandatangani Setiausaha Dewan Rakyat yang memaklumkan mengenai mesyuarat Jawatankuasa ini.
Malah, anggota polis turut mengugut untuk menahan saya sekiranya saya tidak beredar dari tempat sekatan jalan raya dalam tempoh dua minit.
Walaupun pada akhirnya Ahli-Ahli PAC diberikan laluan setelah campur tangan daripada Pengurusan Parlimen, tindakan sebegini adalah uncalled-for dan merupakan satu ancaman terhadap peranan kami selaku Ahli PAC. Ia adalah bertentangan dengan usul yang memerintahkan Ketua Polis Negara menjaga laluan masuk dan keluar untuk ahli-ahli Parlimen hadir ke sebarang mesyuarat di Parlimen yang diluluskan oleh Dewan Rakyat pada setiap pembukaan penggal, dan juga menyalahi Seksyen 124 Kanun Keseksaan.
Kehadiran kami di Bangunan Parlimen adalah bertujuan untuk menghadiri Prosiding PAC dan surat panggilan mesyuarat berkenaan adalah bukti jelas dan nyata kepada anggota PDRM.
Mengenai prosiding Perolehan Vaksin COVID-19 dan Penggunaannya Terhadap Rakyat Malaysia, PAC hari ini memanggil Kementerian Kesihatan Malaysia yang dihadiri Datuk Seri Dr Adham Baba, Menteri Kesihatan; Datuk Mohd Shafiq Abdullah, Ketua Setiausaha KKM; Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan dan Dr Roshayati Rusli, Pengarah Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA). Prosiding tersebut berjalan dengan amat lancar dengan pematuhan segala SOP kesihatan.
Prosiding berlangsung selama hampir tiga setengah jam bermula jam 10.30 pagi dan ia adalah prosiding keempat selepas prosiding bersama Kementerian Kewangan pada 28 Julai 2021.
PAC akan berbincang mengenai laporannya dan akan mengemukakan rumusan serta syor kepada Kerajaan mengenai isu ini sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat selewat-lewatnya dalam sidang Parlimen Oktober nanti.