Pulau Pinang ketinggalan di belakang dengan 21.7% populasi dewasa yang divaksinasi, dan berada di kedudukan ke-10 dari 14 negeri yang menerima 2 dos vaksinasi penuh pada 31.7.2021. Dengan jangkitan harian di Pulau Pinang yang mencatat rekod 752 kes pada 1 Ogos, ada keperluan untuk mempercepatkan proses vaksinasi sebagai perlindungan yang paling berkesan terhadap COVID-19 selain pematuhan SOP.
Peningkatan jangkitan harian dan kematian di Pulau Pinang telah menambahkan ketakutan dan meningkatkan permintaan untuk vaksinasi lebih cepat. Saya telah menerima banyak aduan mengenai proses vaksinasi yang lambat, dengan banyak yang tidak berpuasa hati kerana masih tidak mendapat temujanji vaksinasi walaupun mereka telah mendaftar sejak Februari. Wajarkah aplikasi perisian MySejahtera dengan peruntukan RM70 juta tidak memberikan temujanji vaksinasi terlebih dahulu kepada mereka yang telah mendaftar lebih awal dan bukannya yang mendaftar kemudian?
Ketika pergi melawat rumah ke rumah untuk mengedarkan bakul makanan, banyak yang berharap agar ekonomi dibuka semula supaya mereka dibenarkan bekerja semula atau menjalankan perniagaan mereka untuk mencari rezeki. Kadar vaksinasi yang lebih cepat akan membolehkan ekonomi dibuka semula dengan lebih pantas. Walaupun Program Imunisasi Kebangsaan (PICK) berada di bawah kuasa Kerajaan Persekutuan, rakyat telah mendesak wakil rakyat PH untuk terus menekan Kerajaan Persekutuan bagi meningkatkan kadar vaksinasi.
Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah memutuskan untuk tidak membeli vaksin dan sebaliknya memilih untuk bergantung kepada PICK bagi mencapai imuniti kelompok di negeri ini. Kerajaan Persekutuan perlu membalas kepercayaan yang diamanahkan oleh kerajaan negeri untuk memastikan penghantaran vaksin lebih awal, dan tidak membiarkan Pulau Pinang ketinggalan sehingga Pulau Pinang berada di kedudukan ke-10 daripada 14 negeri di Malaysia dalam kadar vaksinasi dos penuh.
Satu cadangan ialah menubuhkan Operasi Lonjakan Kapasiti atau OSC yang serupa dengan Lembah Klang dan melantik seorang Ahli Parlimen Pulau Pinang yang boleh diterima oleh kerajaan negeri dan persekutuan untuk menyelaraskan pelaksanaan vaksinasi dengan lancar. Bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Ahli Parlimen DAP untuk Bangi Dr Ong Kian Ming telah dilantik sebagai penyelaras OSC bagi Lembah Klang.
Pulau Pinang antara tiga penyumbang utama pendapatan cukai dan wilayah eksport utama untuk Malaysia dan merupakan satu-satunya negeri perindustrian di negara ini dengan 95% daripada KDNK datang daripada sektor pembuatan dan perkhidmatan. Kami berharap pihak berkuasa yang berkenaan dapat mengambil langkah proaktif untuk mempercepatkan vaksinasi demi menyelamatkan nyawa dan mata pencarian.
Imuniti kelompok perlu dicapai melalui suntikan vaksin dan bukan melalui suntikan vaksin dan jangkitan. Lebih 80% kes Covid-19 di Pulau Pinang adalah mereka yang tidak divaksinkan. Mengikut Jabatan Kesihatan Pulau Pinang, kes melibatkan pesakit yang belum divaksinkan merangkumi 83% daripada keseluruhan kes pada 28 Julai, 82% pada 29 Julai, 79% pada 30 Julai dan 80% pada 31 Julai. Vaksinisasi perlu disegerakan untuk menurunkan risiko kepada mereka yang dijangkiti. Dengan kadar jangkitan yang tinggi, imuniti kelompok mungkin akan dicapai melalui kedua-dua suntikan vaksin dan jangkitan.