Skip to content

Malaysia memerlukan kestabilan politik untuk menjadi sebuah negara hebat sekali lagi dan kita tidak boleh menjadi seperti Lubnan yang mana Parlimennya mengundi sebanyak 12 kali dalam tempoh sembilan bulan dan masih gagal untuk memilih seorang Presiden

Malaysia memerlukan kestabilan politik untuk menjadi sebuah negara hebat sekali lagi dan kita tidak boleh menjadi seperti Lubnan yang mana Parlimennya mengundi sebanyak 12 kali dalam tempoh sembilan bulan dan masih gagal untuk memilih seorang Presiden.

Lubnan kini berada di dalam ketidaktentuan politik dan perkara ini perlulah menjadi pengajaran kepada semua rakyat Malaysia.

Nasihat dari Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah yang lain yang bertitah bahawa Malaysia memerlukan kestabilan politik untuk memastikan adanya sebuah negara yang bersatu padu, adil, progresif, dan makmur untuk semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, kawasan, jantina, atau umur, adalah satu nasihat yang sangat bertepatan dan patut diikuti oleh semua rakyat Malaysia yang mahu melihat negara kita menjadi hebat sekali lagi.

Kerana inilah Kerajaan Perpaduan Anwar patut disokong oleh semua pengundi dari keenam-enam negeri pada 12 Ogos ini, kerana Malaysia kemerosotan Malaysia patut dihentikan dan negara kita perlu dikembalikan semula kepada prinsip-prinsip asal pembinaan sebuah negara Malaysia majmuk yang telah diterapkan ke dalam Perlembagaan dan Rukun Negara oleh tokoh-tokoh kemerdekaan negara (termasukalah tiga Perdana Menteri terawal negara yang juga merupakan Presiden UMNO) – prinsip-prinsip raja berperlembagaan, demokrasi berparlimen, pemisahan kuasa, kedaulatan undang-undang, badan kehakiman yang bebas, Islam sebagai agama rasmi dan kebebasan beragama untuk kepercayaan yang lain, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan pemeliharaan serta pengayaan bahasa-bahasa lain, tadbir urus yang baik, integriti awam dengan rasuah yang minima, kerajaan yang bersih dan jujur, meritokrasi, hormat terhadap hak asasi manusia, pengakhiran segala bentuk kezaliman dan ketidakadilan dalam negara, sistem ekonomi, pendidikan, kesihatan, dan sosial yang bertaraf dunia, dan perpaduan, persefahaman, dan keharmonian dari kepelbagaian masyarakat majmuk berbilang kaum, bahasa, agama, dan budaya.

Baru-baru ini, terdapat banyak isu-isu global dan kawasan serantau – perang di Ukraine; sama ada China dan Amerika Syarikat akan berperang; sama ada pemimpin politik muda, Pita Limjaroenrat dari Parti Move Forward (MFP) akan dipilih menjadi Perdana Menteri Thailand; Sokongan Erdogan dari Turkiye terhadap keahlian NATO untuk Sweden, dll.

Rakyat Malaysia, seperti orang di negara lain, perlu lebih banyak berfikir mengenai isu-isu global ini memandangkan dunia kini semakin mengecil hasil dari perkembangan teknologi komunikasi.

Tetapi, rakyat Malaysia kelihatan seperti melakukan perkara yang sebaliknya, dan ada personaliti dalam negara yang mahu rakyat Malaysia untuk hanya berfikir mengenai isu perkauman dan keagamaan dan bukannya isu-isu global seperti perang dan keamanan.

Dalam mendekati enam pilihan raya negeri pada 12 Ogos ini, terdapat kecenderungan untuk berfikir dalam masa lampau dan bukannya untuk berfikir demi masa hadapan.

Semua parti-parti politik dan calon-calon yang bakal bertanding patut bertindak secara bertanggungjawab kerana kita perlu berfikir mengenai generasi akan datang, sama ada Malaysia boleh menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia untuk melahirkan juara dunia sekali lagi atau sama ada kita ditakdirkan menjadi sebuah negara yang berpecah belah, gagal, dan korup.

Kerana inilah saya telah cadangkan supaya semua parti dan calon yang bakal bertanding dalam enam pilihan raya negeri ini untuk menyertai satu persetujuan untuk tidak mengeksploitasi isu 3R dan untuk memastikan tidak terjadinya satu lagi rusuhan perkauman seperti 13 Mei 1969 dan untuk mewujudkan satu mekanisme untuk mendedahkan penipuan, fitnah, berita palsu, dan ucapan kebencian dalam kempen pilihan raya.

Ayuhlah Malaysia, tunjukkan kepada dunia, bagaimana dalam era media sosial, kita berjaya untuk tidak dibanjiri tsunami penipuan, fitnah, berita palsu, dan ucapan kebencian semasa kempen pilihan raya.

Marilah kita jadikan Malaysia sebagai contoh dialog, persefahaman, toleransi, dan keharmonian antara etnik, agama, budaya, dan tamadun kepada dunia.