Skip to content

Malaysia tidak boleh hanya setakat melahirkan juara dunia tetapi kita juga perlu memainkan peranan utama dalam menyumbang kepada keamanan, persefahaman, dan kepelbagaian di peringkat dunia dan mengelakkan dari terjadinya pertembungan antara tamadun

Saya perlu berterima kasih kepada Ketua Polis Negara yang paling lama berkhidmat, Tun Hanif Omar, yang telah membawa kepada penyahrahsiaan satu dokumen Akta Rahsia Rasmi dari tahun 1969 – kenyataan yang saya berikan kepada pihak polis semasa berada dalam tahanan di Balai Polis Kuala Selangor di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri selepas saya menolak nasihat untuk tidak kembali ke Malaysia dan kembali ke tanah air pada 18 Mei 1969.

Saya ditanya oleh pihak polis pada tahun 1969, apakah kepercayaan politik saya dan saya nyatakan lapan perkara berikut 54 tahun yang lalu:

  • Malaysia adalah sebuah masyarakat pelbagai kaum, bahasa, dan budaya, dan sebuah bangsa Malaysia yang berdaya maju hanya boleh dibentuk sekiranya semua kaum dan kumpulan dalam negara ini diberikan kepentingan yang sama.
  • Melainkan rakyat Malaysia dari semua kaum mempunyai lebih banyak persamaan di antara satu sama lain berbanding dengan “saudara sedarah” mereka yang mungkin berada di China, India, atau Indonesia, Malaysia tidak boleh dikatakan sebagai telah menjadi “sebuah Negara Rakyat Malaysia”.
  • Dalam sebuah masyarakat pelbagai kaum seperti di Malaysia, keganasan dan sebarang ideologi paksaan hanya akan membawa kepada kemusnahan negara kerana perkara ini akan secara pantas membawa kepada konflik perkauman. Oleh itu, saya mengecam paksaan dan keganasan dalam semua bentuk.
  • Dalam masyarakat pelbagai kaum, sekiranya ada mana-mana kumpulan kaum berasa yang mereka ketinggalan, baik dari pendidikan, ekonomi, budaya, bahasa, atau politik, maka antagonisme perkauman akan wujud. Segala usaha diperlukan untuk menghapuskan ketidakseimbangan di antara kaum dan kumpulan ini.
  • Kemiskinan bukanlah masalah perkauman. Ia adalah masalah sosio-ekonomi. Untuk menganggap kemiskinan sebagai masalah perkauman hanya akan meningkatkan antagonisme perkauman di dalam negara ini.
  • Saya mahukan sebuah kerajaan yang bersih, jujur, efisyen, bebas dari rasuah, dan berkesan.
  • Hanya demokrasi berparlimen yang dapat mengelakkan dari terjadinya pertembungan antara kaum. Apa-apa bentuk kerajaan yang lain hanya akan membawa kepada syak wasangka di antara kaum.
  • Komunisme tidak kondusif dalam masyarakat berbilang kaum seperti di Malaysia.

Saya telah berpegang dengan kelapan-lapan perkara ini dalam kerjaya politik saya selama hampir setengah abad dan perkara-perkara ini patut menjadi asas untuk Malaysia menetapkan semula dasar dan hala tuju negara kepada prinsip-prinsip yang telah diterapkan oleh tokoh-tokoh kemerdekaan negara dalam Perlembagaan dan Rukun Negara – prinsip raja berperlembagaan, demokrasi berparlimen, pemisahan kuasa, kedaulatan undang-undang, badan kehakiman yang bebas, Islam sebagai agama rasmi dengan kebebasan untuk agama-agama lain, tadbir urus baik, integriti awam dengan rasuah yang minima, sebuah kerajaan yang jujur dan bersih, meritokrasi, hormat terhadap hak asasi manusia, usaha menghentikan segala bentuk kezaliman dan ketidakadilan dalam negara, sistem ekonomi, pendidikan, kesihatan dan sosial yang bertaraf dunia, dan perpaduan negara, persefahaman, dan keharmonian dari kepelbagaian masyarakat berbilang kaum, bahasa, agama, dan budaya.

Tidak ada sesiapa yang meminta mana-mana rakyat Malaysia untuk berhenti menjadi seorang Melayu, Cina, India, Iban atau Kadazan, atau Muslim, Buddha, Hindu, Tao, atau Sikh, tetapi kita semua perlulah mengutamakan identiti kita sebagai rakyat Malaysia sebelum identiti etnik, agama, atau kawasan kita.

Sejak tahun 1966 ketika Parti Tindakan Demokratik ditubuhkan, kita berjuang untuk mewakili semua rakyat Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum, agama, dan kawasan, dan kerana inilah sejak dari pilihan raya umum pertama yang disertai DAP pada tahun 1969, DAP sentiasa memberikan tawaran calon dari pelbagai latar belakang kaum dan agama.

Pada hari Isnin, ketika saya dianugerahkan dengan gelaran “Tan Sri” oleh Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong, pihak polis mahu memberikan perlindungan kepada saya memandangkan ada mesej-mesej buruk dari pihak pelampau yang menuduh saya kononnya sebagai mencetuskan rusuhan 13 Mei 1969; kononnya tidak dilahirkan di Malaysia, sebaliknya dilahirkan di China dan datang ke Malaysia ketika saya berumur 18 tahun; dan kononnya saya seorang komunis.

Semalam, Presiden PAS Hadi Awang sekali lagi memainkan isu 13 Mei dalam cubaan untuk memberikan amaran terhadap “naratif palsu” yang disebarkan oleh DAP untuk meraih sokongan orang muda Cina dan India.

Sebenarnya Hadi yang sedang mencuba untuk mengubah pendirian rakyat Malaysia dengan menggunakan naratif palsu dan bukannya cuba untuk menggalakkan rakyat Malaysia untuk menjadi juara dunia dan memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada keamanan, persefahaman, dan kepelbagaian di peringkat dunia.

Saya telah katakan sebelum ini yang Hadi telah gagal untuk menjadi seorang pemimpin Islam yang bertanggungjawab, jujur, dan dihormati kerana dia membuat tuduhan liar dan tidak masuk akal terhadap DAP dan saya yang tidak dapat dibuktikannya apabila dicabar.

Saya memberikan tiga cabaran baharu kepada Hadi, untuk membuktikan yang kononnya saya berada di Kuala Lumpur dan telah menjadi punca rusuhan 13 Mei 1969; kononnya saya dilahirkan di China dan bukannya Batu Pahat, Johor; dan kononnya saya seorang komunis.

Tiga Perdana Menteri terawal negara, yang juga merupakan Presiden UMNO, Tunku Abdul Rahman, Razak Hussein, dan Hussein Onn, adalah antara tokoh-tokoh kemerdekaan yang telah menetapkan prinsip-prinsip asas pembinaan negara Malaysia sebagai sebuah negara majmuk, malangnya kita telah terpesong daripada prinsip-prinsip ini dalam beberapa dekad yang lepas.

Malaysia perlu menetapkan semula dasar dan hala tuju negara dan kembali kepada prinsip-prinsip ini untuk membolehkan rakyat Malaysia menjadi juara dunia dan tauladan dialog, persefahaman, toleransi, dan keharmonian antara etnik, agama, budaya, dan tamadun kepada dunia.

Kita patut berhenti bertelagah sesama sendiri untuk menjadi sebuah negara yang berpecah belah, gagal, dan kleptokratik, sebaliknya kita perlu bersaing dengan seluruh dunia untuk menjadi tauladan dialog, persefahaman, toleransi, dan keharmonian antara etnik, agama, budaya, dan tamadun kepada dunia dan untuk mengelakkan terjadinya pertembungan antara tamadun.