Skip to content

Mansuhkan BTN dan Jasa yang menyalahgunakan duit rakyat untuk kempen propaganda politik BN yang berunsurkan fitnah dan tohmah

Saya merujuk kepada bahan propaganda yang bersumberkan laman web rasmi Biro Tatanegara (BTN) sendiri. Bahan-bahan dalam bentuk slaid persembahan (presentation slides) itu besar kemungkinan digunakan sebagai sebahagian daripada kursus atau ceramah anjuran BTN. Ekoran penyebaran luas bahan-bahan tersebut dalam media sosial semalam, pautan tersebut tidak lagi boleh diakses.

Fitnah dan tohmahan terhadap DAP

Jelas, bahan-bahan tersebut mempunyai dua tujuan khusus. Pertama, ia berperanan untuk mengagung-agungkan Kerajaan Barisan Nasional (BN), sepertimana salah sebuah slaid yang mengandungi ayat “Bahtera Barisan Nasional tetap utuh dan gah! Tiada tandingan!”

Pada masa yang sama, bahan-bahan tersebut juga memperlekeh dan memfitnah golongan-golongan yang kritikal terhadap Kerajaan BN, termasuk NGO, aktivis politik, penerbitan popular serta parti-parti DAP, PKR dan PAS. Malah, Kumpulan 25 Melayu ternama (G25) juga tidak terlepas daripada kutukan.

Tidak mengejutkan, DAP menjadi antara sasaran utama BTN. Seperti biasa, DAP digambarkan sebagai momok kepada orang Melayu yang mempunyai rancangan jahat untuk merampas kuasa politik Melayu, walaupun perkara ini jelas tidak boleh berlaku atas pelbagai sebab, umpamanya demografi orang Melayu yang menjadi majoriti di negara kita, peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kedudukan orang Melayu serta kuasa Raja-raja Melayu.

Sekiranya DAP mempunyai niat yang begitu buruk, sudah tentu DAP tidak dapat diterima pengundi yang berbilang kaum di Malaysia, apatah lagi tokoh-tokoh Melayu yang hebat seperti Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said yang baru menyertai parti tempoh hari.

DAP juga dituduh merangka strategi memecahkan masyarakat Melayu dengan menggunakan “ikon Melayu” seperti Dyana Sofya, Young Syefura Othman (Rara), Jamilah Rahim (Melati) serta saya sendiri untuk mengumpan anak muda Melayu, seolah-olah tindakan parti untuk memberi peluang dan pemerkasaan kepada anak muda itu sesuatu yang tidak baik.

Selain itu, DAP juga dikatakan sering menggunakan isu kaum dan agama, khususnya untuk “menguasai pemikiran kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.” Malah, kenyataan-kenyataan berbaur agama seperti “Vote against BN is a vote for Jesus” dan “BN is an anti-Christ agent” telah dikaitkan kepada DAP. Sudah tentu, semua tuduhan ini tidak berasas sama sekali.

Lebih teruk lagi, DAP juga dihubungkan dengan kempen untuk mengeluarkan Sabah dan Sarawak daripada Persekutuan Malaysia, kononnya sebagai “gerakan pembangkang untuk menawan Sabah dan Sarawak.” Semua dakwaan ini adalah fitnah dan tohmahan yang langsung tidak berasas, dan jelas bertujuan untuk mengapi-apikan sentimen rakyat, khususnya masyarakat Melayu, terhadap DAP.

Salah guna dana awam

Kita pastinya masih ingat akan jaminan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Dato’ Sri Hasan Malek yang berkata bahawa wang yang dikutip melalui pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tidak akan disalah guna. Namun begitu, pendedahan bahan-bahan propaganda BTN ini mengesahkan bahawa wang pembayar cukai memang telah disalahgunakan sejak awal lagi sehingga kini. Tidak syak lagi, hasil kutipan GST juga akan digunakan bagi membiayai usaha propaganda politik BN ini.

Insiden ini juga jelas menampakkan keutamaan Kerajaan BN yang sanggup memperuntukkan berpuluh juta ringgit kepada usaha menghasilkan propaganda murahan. Bagi tahun 2015, BTN telah diperuntukkan sebanyak RM58.6 juta, manakala sebuah lagi jabatan yang melakukan kerja yang serupa, iaitu Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) yang secara terang-terangan dalam laman web rasminya mengisytiharkan bahawa tujuan penubuhannya adalah untuk “memelihara dan mempertahankan kestabilan politik dan kerajaan Perikatan,”[1] akan menerima peruntukan RM21.7 juta. Jumlah peruntukan bagi kedua-dua jabatan in berjumlah RM80.3 juta setahun.

Sebagai bandingan, Parlimen Malaysia yang merupakan badan perundangan tertinggi negara hanya menerima peruntukan RM89 juta bagi tahun ini. Adakah ini bermaksud bahawa usaha menghasut dan memfitnah ini adalah sama penting dengan kerja penggubalan undang-undang?

Mansuhkan sahaja BTN dan Jasa

Dalam pembentangan Rancangan Malaysia Ke-11, Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Razak mencadangkan untuk merasionalisasikan institusi sektor awam bagi meningkatkan produktiviti dan prestasi.

Jika Kerajaan serius untuk merasionalisasikan sektor awam, maka jabatan-jabatan propaganda politik yang langsung tidak relevan kepada usaha pembinaan negara seperti BTN dan Jasa harus dimansuhkan dengan segera. Selain tidak menyalahgunakan jentera awam untuk memajukan kepentingan politik BN, langkah ini dapat menjimatkan Kerajaan sebanyak RM80 juta setahun.