Skip to content

Datuk Seri Mustapa Mohamad cuba melencongkan perhatian orang ramai agar kegagalan UMNO dalam membantu pasca banjir ini tidak terbangkit

Saya membidas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamad yang mengatakan cadangan DAP untuk membina masjid di Kampung Pasir Tumboh, Gua Musang seolah-olah menafikan pembinaan lebih 24,000 masjid dan surau oleh Kerajaan Persekutuan di seluruh Negara sebelum ini serta merupakan suatu penghinaan kepada umat Islam negara ini. Tidak ada sesiapa yang akan menganggap cadangan tersebut sebagai satu penghinaan kepada umat Islam selain daripada UMNO kerana ia sebenarnya merupakan satu penghinaan yang tidak lain dan tidak bukan kepada UMNO.

Ini adalah kerana UMNO yang memegang kuasa di peringkat pusat telah gagal dalam misi pemulihan pasca banjir di negeri Kelantan.

Selain daripada itu, DAP tidak menghebohkan dan memasyhurkan cadangan tersebut selain Mustapa sendiri yang berbuat demikian dengan tujuan ingin melencongkan perhatian orang ramai agar kegagalan UMNO dalam membantu pasca banjir ini tidak terbangkit. Ini merupakan strategi mereka untuk melindung kegagalan dan kelemahan mereka.

Semua gerak kerja dan penglibatan DAP dalam Projek Pemulihan Pasca Banjir di Kampung Pasir Tumboh, Gua Musang bersama Gabungan Impian Kelantan merupakan bantuan berlandas kemanusiaan dan ia tidak patut dipertikaikan malah mereka harus menerimanya dengan ikhlas. Saya juga berharap pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab jangan memainkan sentimen perkauman dan keagamaan memandangkan usaha-usaha tersebut merupakan bantuan kemanusiaan dan menyeru semua pihak supaya membantu dalam misi kemanusiaan ini dengan sedaya upaya tanpa mengira kaum dan agama.