Skip to content

Peletakan jawatan bagi semua wakil kerajaan DAP di negeri Kelantan

Berikutan keputusan Jawatankuasa Pusat DAP yang memutuskan bahawa tidak wujud lagi Pakatan Rakyat ekoran ketetapan Dewan Ulama PAS untuk membatalkan kerjasama politik dengan DAP, saya selaku Penyelaras Perhubungan Organisasi DAP bagi Negeri Kelantan dan Terengganu ingin mengumumkan bahawa ketiga-tiga ketua kampung yang dilantik atas kapasiti parti DAP akan meletak jawatan pada keesokan hari.

Untuk makluman, ketiga-tiga ketua kampung tersebut ialah Irene Tan (Penghulu Tanpa Mukim di bawah Dun Tanjung Mas), David Ng Yang Seng (Penghulu Tanpa Mukim di bawah Dun Kota Lama) serta Tang Chee Hung (Penghulu Kampung Pulai).

Pihak Penyelaras Perhubungan Organisasi DAP bagi Negeri Kelantan dan Terengganu menyokong keputusan Jawatankuasa Pusat DAP dalam sebulat suara. Memandangkan bahawa kerajaan negeri Kelantan yang dinaungi oleh PAS tidak lagi merupakan kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat, maka tindakan untuk meletak jawatan sebagai ketua kampung telah diambil dan akan berkuatkuasa tanpa berlengah lagi. Tindakan ini adalah mustahak untuk mempertahankan maruah parti serta memberikan sokongan padu kepada Jawatankuasa Pusat DAP.

Sesungguhnya pihak penyelaras DAP merasa amat kesal terhadap usaha PAS yang bertegas untuk melaksanakan Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Hudud) di Kelantan. Tindakan PAS sedemikian telah ditentang oleh DAP kerana ia bercanggah dengan dasar bersama Pakatan Rakyat serta Perlembagaan Persekutuan. Usul hudud yang ditegaskan oleh PAS turut tidak mengambil kira pendapat masyarakat bukan Muslim secara umum. Pindaan bagi kanun hudud tersebut tetap diluluskan oleh kerajaan negeri PAS di dewan undangan negeri Kelantan walaupun DAP telah mengemukakan tentangannya terhadap usul hudud PAS dari semasa ke semasa.

Pihak penyelaras DAP ingin mendesak agar semua wakil kerajaan PAS di Pulau Pinang mengundurkan diri segera untuk menjunjung keputusan kepimpinan baru PAS yang memutuskan hubungan dengan DAP.

Atas prinsip mempertahankan maruah serta keputusan parti, ketiga-tiga ketua kampung lantikan DAP akan meletak jawatan pada keesokan hari dan DAP bukan lagi sebahagian daripada kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS.