Skip to content

Mansuhkan JKPK Agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri jika ia kekal tidak berkesan

Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) untuk Agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri wajar dimansuhkan apabila tamat tempohnya pada 10 November 2022, memandangkan jawatankuasa tersebut telah gagal memantau dan menuntut akauntabiliti terhadap kerajaan dalam isu-isu berkepentingan awam.

Sebagai salah seorang anggota JKPK tersebut, saya amat kecewa kerana JKPK ini tidak mempunyai keinginan politik dan kepimpinan yang baik untuk berfungsi dengan berkesan. Isu-isu berkepentingan awam, seperti skandal pemilikan saham Tan Sri Azam Baki, masih gagal diselesaikan dan tidak berjaya diteliti oleh JKPK ini.

Lebih lapan bulan telah berlalu sejak JKPK ini memanggil Azam Baki untuk menjawab mengenai skandal tersebut. Namun, Azam Baki terus menghina kemuliaan parlimen dan enggan menghadiri mesyuarat JKPK tersebut.

JKPK ini juga telah menghadapi pelbagai halangan birokrasi yang menjejaskan keberkesanannya untuk memantau kes Azam Baki. Antara lain, pengerusi JKPK ini telah bertindak dengan sendiri untuk membatalkan mesyuarat setelah Azam Baki menulis surat menyatakan keengganan beliau untuk hadir ke mesyuarat JKPK tersebut.

Penasihat Undang-undang parlimen juga telah mengambil lebih daripada enam bulan untuk mengeluarkan nasihat undang-undangnya dalam isu ini kepada ahli-ahli JKPK. Tidak menghairankan, penasihat undang-undang parlimen telah memberi sebab yang sama dengan Azam Baki, iaitu bahawa kehadiran Azam Baki ke mesyuarat JKPK untuk membincangkan isu pemilikan saham beliau adalah sub judice. Sehingga hari ini, isu ini masih tergantung tanpa sebarang jalan penyelesaian.

Sepanjang tahun 2022, JKPK Agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri hanya bermesyuarat sebanyak tiga kali, walaupun sebelum ini saya telah mencadangkan bahawa jawatankuasa ini wajar bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali sebulan. Kebanyakan mesyuarat JKPK ini melibatkan pembentangan umum oleh agensi-agensi kerajaan, sedangkan isu yang lebih substantif seperti kes Azam Baki diabaikan.

Baru-baru ini, saya telah mencadangkan kepada Pengerusi JKPK untuk memanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menerangkan perspektif mereka dalam isu pembinaan kapal Littoral Combat Ship LCS). Namun, pengerusi JKPK tidak memberi apa-apa maklum balas.

Saya membangkitkan perkara-perkara ini dengan harapan supaya Dewan Rakyat akan menyemak dan memperkasakan sistem JKPK dalam sesi parlimen yang akan datang. JKPK hendaklah diperuntukkan kuasa dan proses yang sepatutnya supaya dapat menjalankan tugas dengan berkesan.

Dari segi ini, antara cadangan-cadangan saya untuk menambahbaik JKPK-JKPK adalah seperti berikut:

  1. Skop kerja semua JKPK perlu disemak semula dan diperbaiki supaya tidak terlalu luas. Contohnya, skop JKPK Agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri adalah terlalu luas kerana merangkumi terlalu banyak agensi dan isu. Ini menjejaskan keberkesanan JKPK kerana tiada fokus yang jelas.
  2. Peranan pengerusi-pengerusi JKPK hendaklah dinyatakan secara jelas. Seseorang pengerusi tidak boleh bertindak atau membuat keputusan secara sendiri tanpa persetujuan daripada ahli-ahli JKPK.
  3. Dewan Rakyat hendaklah menetapkan tatacara asas untuk JKPK, seperti kekerapan mesyuarat, kehadiran ahli, dan proses pelaporan.
  4. Dewan Rakyat harus menyatakan secara jelas bahawa adalah wajib untuk mana-mana agensi, kumpulan, atau individu yang dipanggil oleh JKPK untuk hadir ke mesyuarat JKPK. Ketidakhadiran akan dianggap sebagai perbuatan menghina parlimen.
  5. JKPK-JKPK perlu diberi kuasa, melalui terma rujukan, untuk menentukan agenda sendiri dan isu-isu yang hendak diteliti, selagi mana agenda dan isu tersebut adalah terangkum dalam skop yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat. Sebagai contoh, JKPK Pendidikan diberi kuasa oleh Dewan Rakyat untuk meneliti dan memantau Kementerian Pendidikan, dan JKPK sendiri akan menentukan isu spesifik yang hendak dibincangkan dan pihak-pihak yang perlu dipanggil.
  6. Mesyuarat JKPK hendaklah dibuka untuk kehadiran orang awam, kecuali jika mesyuarat melibatkan maklumat-maklumat yang sensitive, contohnya yang melibatkan keselamatan negara. Perjalanan sesyuarat hendaklah disiarkan di televisyen dan melalui internet.