Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen hari ini, bersetuju sebulat suara untuk memulakan prosiding berhubung Perolehan Kapal Peronda Luar Pesisir (OPV) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Dalam perbincangan berhubung perkara berkenaan, PAC berpendapat Kerajaan iaitu APMM dan KDN perlu memberikan penjelasan kepada Parlimen melalui Jawatankuasa ini bagi memastikan rakyat-rakyat mengetahui sebab sebenar kelewatan itu berlaku.
Maka, adalah amat wajar untuk PAC mengadakan prosiding berhubung isu ini selaras dengan punca kuasa Jawatankuasa ini di bawah Peraturan Mesyuarat 77(1)(d) Peraturan-peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat yang jelas menyebut “…apa-apa perkara lain yang difikirkan oleh Jawatankuasa itu patut
diperiksa…”.
Selain itu, PAC juga akan menggunakan punca kuasa di bawah Peraturan Mesyuarat 83(2) serta Perkara 11(b) Pekeliling Am Bil 2 Tahun 1982 Organisasi-organisasi Kementerian Jabatan Perdana Menteri dalam mengendalikan prosiding ini.
PAC akan memanggil KDN dan APMM bagi memberikan penjelasan serta Kementerian Kewangan (MOF) selain syarikat yang diberikan kontrak untuk membina kapal OPV ini.
Tarikh dan masa prosiding akan ditetapkan dan diumumkan dalam masa terdekat.