Skip to content

Marilah para pengundi dalam enam negeri pada 12 Ogos ini bersama-sama kita selamatkan Malaysia dari menjadi sebuah negara yang berpecah belah, gagal, dan korup seperti Sri Lanka dalam dekad-dekad yang akan datang untuk Malaysia bangkit semula menjadi sebuah negara hebat dunia

Para pengundi di enam negeri; Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan, dan Terengganu mempunyai satu tanggungjawab yang bersejarah dan sangat penting pada hari mengundi 12 Ogos ini untuk menyelamatkan Malaysia dari nasib sebagai sebuah negara yang berpecah belah, gagal, dan korup seperti Sri Lanka supaya Malaysia dapat bangkit semula menjadi sebuah negara hebat dunia.

Kedua-dua Muhyiddin Yassin dan Hadi Awang, pemimpin Perikatan Nasional (PN) tidak mempunyai rancangan untuk membangkitkan semula Malaysia menjadi negara hebat dunia.

Pencapaian terhebat Muhyiddin sebagai Perdana Menteri setakat ini adalah apabila dia mengambil masa hanya selama 10 bulan pada tahun 2020 untuk negara kita jatuh sebelas anak tangga dari tempat ke-51 ke tempat ke-62 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) 2020, sedangkan Malaysia mengambil masa 22 tahun untuk turun dari kedudukan kita di tempat ke-23 dari 41 negara yang ditinjau ketika indeks ini mula diterbitkan pada tahun 1995 ke tempat ke-62 dari 180 buah negara pada tahun 2017.

Pencapaian terhebat Hadi Awang pula adalah di mana dia menuduh saya sebagai seorang yang anti-Melayu, anti-Islam, anti-Raja, pencetus rusuhan 13 Mei 1969 di Kuala Lumpur, dan seorang komunis, tetapi apabila dicabar untuk membuktikan tuduhan-tuduhan ini dari rekod 58 tahun kerjaya politik saya, dia gagal dan telah mengelakkan perkara ini selama berbulan-bulan malah hampir bertahun.

Dalam visi Ekonomi Madaninya, Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah berjanji untuk menjadikan Malaysia di antara 25 negara teratas dalam Indeks Persepsi Rasuah Transparency International. Kita kini berada di tempat ke-61 dari 180 buah negara dalam TI CPI 2022.

Apakah agaknya kedudukan Malaysia dalam TI CPI 2023 apabila indeks ini diterbitkan pada bulan Januari 2024. Apakah agaknya kedudukan Malaysia dalam TI CPI 2024, 2025, 2026, atau 2027?

Anwar Ibrahim adalah satu-satunya Perdana Menteri Malaysia yang berani menjanjikan untuk meletakkan Malaysia menjadi salah satu dari 25 negara teratas dunia dalam TI CPI.

Adakah dia akan berjaya? Hanya masa yang akan menentukan, sementara itu, dia perlukan sokongan semua rakyat Malaysia untuk menjayakan usaha untuk menjadikan Malaysia salah satu dari 25 negara dunia yang paling kurang korup.

Enam pilihan raya negeri pada hari Sabtu, 12 Ogos ini mungkin lebih penting berbanding dengan Pilihan Raya Umum ke-15 pada 19 November 2022.

Ini adalah kerana keputusan pilihan raya ini akan menentukan sama ada Malaysia akan bangkit semula menjadi sebuah negara hebat dunia atau kita ditakdirkan menjadi sebuah negara yang berpecah belah, gagal, dan korup seperti yang dimahukan PN dalam beberapa dekad yang akan datang.

Gabungan Pakatan Harapan–Barisan Nasional mahu melihat Kedah, Kelantan, dan Terengganu – tiga negeri termiskin dalam Malaysia – untuk menjadi maju dan makmur seperti Selangor, Pulau Pinang, dan Negeri Sembilan – tiga negeri dengan KDNK per kapita tertinggi – dan bukannya untuk Selangor, Pulau Pinang, dan Negeri Sembilan menerima nasib seperti Kedah, Kelantan, dan Terengganu.

Saya seru kepada para pengundi di Damansara Utama pada 12 Ogos ini untuk bukan setakat keluar mengundi dan memastikan anak-anak dan saudara-mara mereka pulang mengundi, tetapi juga untuk berkempen supaya Malaysia dapat bangkit semula menjadi sebuah negara hebat dunia yang dibina atas asas perpaduan semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, atau kawasan dan juga dengan kestabilan politik di Malaysia.

Memandangkan setiap undi sangat penting untuk menyelamatkan Malaysia, kita tidak sepatutnya membiarkan undi kita terpecah, sebaliknya kita perlu pastikan yang Jamaliah Jamaluddin dapat setiap undi di Damansara Utama pada 12 Ogos ini.