Skip to content

Melanjutkan kempen pemilikan rumah hingga akhir Disember 2021 seperti yang telah dijanjikan, akan membantu mengurangkan RM40 bilion rumah tidak terjual pada 2020 dan sektor hartanah pulih dari PKP 3.0

PN tidak boleh mungkir janji lagi tetapi segera melanjutkan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) hingga akhir Disember 2021, jika kerajaan serius untuk membantu sektor hartanah pulih dari PKP 3.0 dan mengurangkan RM40 bilion rumah tidak terjual bagi unit kediaman dan pangsapuri servis yang direkodkan pada tahun 2020. HOC telah dilancarkan kali pertama pada tahun 2019 dan berjaya menghasilkan penjualan berjumlah RM23.2 bilion pada tahun 2019, melepasi sasaran awal Kerajaan PH pada masa itu iaitu RM 17 bilion.

Manfaat HOC kepada pembeli rumah adalah jelas. Pemaju yang mengambil bahagian dalam HOC perlu menawarkan diskaun minimum 10% dan pembeli hartanah yang pada asalnya berharga di bawah RM2.5 juta, dan lebih tinggi daripada RM300,000, akan menikmati pengecualian duti setem dalam Memorandum Pemindahan dan Perjanjian Pinjaman.

HOC (Kempen Pemilikan Rumah) akan berakhir pada 31 Mei 2021 setelah dilancarkan pada 1 Jun 2020. Kerajaan PN memperkenalkan semula HOC pada bulan Jun tahun lalu di bawah Pelan Jangka Pendek Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) untuk merangsang pasaran hartanah yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin menyebut bahawa sangat penting bagi HOC diteruskan sehingga akhir 2021 untuk membantu ekonomi dalam pemulihannya dan membantu pemilikan rumah. Bagaimanapun, HOC akan berakhir pada akhir Mei setelah Kementerian Kewangan enggan melanjutkannya hingga akhir tahun ini kerana kutipan duti setem berjumlah RM500 juta dilepaskan. Ini akan menjadi satu lagi janji yang dimungkiri oleh Zuraida.

Dianggarkan bahawa HOC terbaru ini akan mencatatkan sekitar RM36 bilion penjualan pada akhir bulan ini. Walaupun terdapat kemungkinan kerugian hasil duti setem sekitar RM500 juta, jumlah ini boleh didapatkan semula menerusi cukai korporat ke atas keuntungan yang diperoleh pemaju dari hasil penjualan RM36 bilion atau lebih lagi. Dengan kadar keuntungan konservatif sebanyak 10% ke atas hasil RM36 bilion, itu bermaksud cukai korporat 24% ke atas keuntungan RM3.6 bilion adalah sekitar RM864 juta. Sebilangan pemaju akan memperoleh margin keuntungan melebihi 10% dari hasil, menghasilkan kutipan cukai yang lebih tinggi. Kita tidak boleh berkira pada yang sedikit, dan mengabaikan pada yang banyak ketika industri hartanah mempunyai banyak kelebihan dan limpahan ekonomi yang positif.

Hasil penjualan RM36 bilion di bawah HOC juga bermanfaat untuk memacu ekonomi dengan memenuhi permintaan berterusan untuk aktiviti dan perkhidmatan yang berkaitan dengan hartanah. Sektor guaman akan mendapat faedah dari S & P yang ditandatangani, malah pengiklan, media, ejen hartanah, syarikat pembinaan dan syarikat perkakasan juga akan mendapat manfaat langsung. Pemaju juga dapat membayar gaji kakitangan mereka dan membayar balik pinjaman bank yang menyebabkan peningkatan pinjaman. Semua aktiviti ekonomi ini akan menghasilkan keuntungan dan pendapatan yang menyebabkan lebih banyak cukai dikutip.

Menurut Laporan 2020 Pusat Maklumat Harta Tanah Negara atau NAPIC, sektor hartanah mencatatkan 295,968 transaksi bernilai RM119 bilion, turun sebanyak 9.9% dalam bilangan dan 15.8% dalam nilai berbanding 2019. Rumah kediaman tidak terjual (ditakrifkan sebagai unit yang telah menerima Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) tetapi tidak terjual selama lebih dari 9 bulan selepas pelancaran) melibatkan 29,565 unit dan meningkat sebanyak 0.5% dalam nilai menjadi RM19 bilion berbanding 2019. Pangsapuri servis tidak terjual melibatkan 23,606 unit pangsapuri servis bernilai RM20.76 bilion, peningkatan 38.0% dalam nilai berbanding 2019.

Berapa sangatlah RM500 juta hasil duti setem yang dilepaskan sekiranya lanjutan HOC hingga 31 Disember 2021 seperti yang dijanjikan, bukan sahaja dapat membantu mengurangkan RM40 bilion rumah tidak terjual bagi unit kediaman dan pangsapuri servis, tetapi juga membantu sektor hartanah pulih dari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0?