Skip to content

Memohon kepada Menteri Dalam Negeri dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia untuk membenarkan Kongres Kebangsaan DAP dan semua Konvensyen Biasa Negeri yang tertangguh diadakan pada suatu tarikh selepas PKP dilonggarkan dan pergerakan rentas negeri dibenarkan

Dengan mengambil kira penularan kes wabak Covid 19 yang sangat tinggi kebelakangan ini dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0), Ibupejabat Kebangsaan DAP telah menghantar surat rasmi kepada Menteri Dalam Negeri dan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia pada 17 Mei 2021 untuk memohon menundakan tarikh Kongres Kebangsaan DAP dan Konvensyen Biasa Negeri DAP untuk Sarawak, Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan, Perlis dan Selangor.

Setakat ini, 10 Jawatankuasa Negeri DAP telah mengadakan Konvensyen Biasa masing-masing seperti berikut:

  1. DAP Perak pada 14 Mac 2021
  2. DAP Kedah pada 19 Mac 2021
  3. DAP Pulau Pinang pada 21 Mac 2021
  4. DAP Terengganu pada 26 Mac 2021
  5. DAP Pahang pada 28 Mac 2021
  6. DAP Kelantan pada 9 April 2021
  7. DAP Negeri Sembilan pada 11 April 2021
  8. DAP Melaka pada 18 April 2021
  9. DAP Wilayah Persekutuan pada 25 April 2021
  10. DAP Johor pada 2 Mei 2021

Kongres Kebangsaan DAP sepatutnya diadakan pada 20 Jun 2021 dan notis pemakluman telah pun dikeluarkan kepada cawangan-cawangan DAP di seluruh negara. Namun, pelaksanaan PKP 3.0 sehingga 7 Jun 2021 dan kemungkinan ia dilanjutkan menyebabkan Kongres tersebut sukar untuk diadakan pada tarikh yang ditetapkan.

Untuk Konvensyen Biasa Negeri yang sepatutnya diadakan dalam tempoh beberapa minggu ini, semua konvensyen terpaksa ditunda kerana semua bentuk mesyuarat dan perhimpunan adalah dilarang dalam tempoh PKP seperti yang diputuskan dalam garis panduan Majlis Keselamatan Negara.

Justeru itu, kami memohon kepada Menteri Dalam Negeri dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia untuk membenarkan Kongres Kebangsaan DAP dan semua Konvensyen Biasa Negeri yang tertangguh diadakan pada suatu tarikh selepas PKP dilonggarkan dan pergerakan rentas negeri dibenarkan.

Maklumat lanjut berkenaan penundaan tarikh-tarikh ini akan diumumkan sejurus selepas Ibupejabat Kebangsaan DAP menerima maklum balas dari pihak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.