MOU antara Kerajaan Persekutuan dan PH dibentuk untuk menjana reformasi institusi yang penting serta menyelamatkan nyawa dan mata pencarian dengan Pelan Pemulihan Ekonomi RM45 bilion dan Pelan Reset COVID-19 Negara yang baru. Pelan Pemulihan Ekonomi bernilai RM45 bilion juga disertai dengan usaha yang belum pernah terjadi sebelum ini untuk mengecualikan faedah selama 3 bulan dalam tempoh moratorium pinjaman bank bagi 50% penduduk terbawah. Saya telah bercakap dengan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz selepas majlis tandatangan perjanjian di Parlimen untuk mempertimbangkan juga PKS.
Dengan kematian harian kedua tertinggi pada 13.9.2021 sebanyak 413, menjadikan jumlah angka kematian kepada 21,124 yang tragis, terdapat keperluan mendesak untuk pendekatan baru bagi menangani peningkatan kematian dan jangkitan yang kini menghampiri 2 juta kes. Keperluan bagi Pelan Reset COVID-19 Negara diakui dalam MOU yang memperuntukkan usaha vaksinasi dipercepatkan bagi mencapai kekebalan kawanan dan pelaksanaan saringan ujian massa Cari, Uji, Kesan, Kuarantin dan Sokongan ditambah Vaksinasi (FTTIS + V) seperti yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta memastikan hospital dan perkhidmatan kesihatan kita dikendalikan sepenuhnya dan diperuntukkan dengan katil, ubat-ubatan, dan kemudahan ICU yang mencukupi bagi merawat pesakit yang sakit.
Hospital kita perlu diberi lebih banyak dana dan sumber untuk meningkatkan kadar survival pesakit COVID-19 di hospital awam yang sama atau hampir dengan tahap di hospital swasta. Hanya setelah langkah-langkah ini diambil, kita dapat beralih daripada dasar pembendungan kepada mitigasi dan hidup bersama COVID-19, untuk membenarkan pembukaan semula ekonomi sepenuhnya. Di sinilah Pelan Pemulihan Ekonomi RM45 bilion disertai dengan “pengecualian faedah” dalam tempoh moratorium pinjaman bank diperlukan untuk memperlahankan penutupan perniagaan terutamanya PKS, dan membantu pekerja yang kehilangan pendapatan atau pekerjaan mereka.
Lindungi Anak Muda dan Masa Depan Anak Muda Negara
Reformasi institusi yang paling penting adalah Undang-undang Anti Lompat Parti untuk menghentikan perdagangan atau jual dan beli Ahli Parlimen bagi kepentingan peribadi. Terdapat juga penurunan umur pengundi kepada 18 tahun dan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963. Reformasi Parlimen yang membolehkan Ahli Parlimen memainkan peranan sebenar dalam pengawasan kerajaan serta semak dan imbang adalah turut penting. Reformasi ini akan membolehkan Parlimen menegaskan kembali ketinggian, kedaulatan dan kesucian Parlimen sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai satu cabang kerajaan yang bebas dan tidak terkongkong daripada campur tangan Eksekutif. Garis masa juga telah ditetapkan dengan jelas bagi pelaksanaannya.
Semoga selain menyelamatkan nyawa dan mata pencarian rakyat, ini juga dapat membantu melindungi anak muda dan masa depan anak muda negara. Sama ada tujuan murni ini akan tercapai bergantung pada pelaksanaannya yang akan dipantau oleh Jawatankuasa Pemandu dengan perwakilan yang sekata melibatkan 5 Menteri daripada kerajaan dan 5 daripada pembangkang. Walaupun MOU telah disepakati, bahagian yang lebih sukar adalah pelaksanaannya. Perjalanannya masih jauh dan keraguan terhadap keikhlasan kerajaan boleh difahami.
Walau bagaimanapun, perlu ada moratorium terhadap permainan angka politik, perdagangan politik serta jual beli Ahli Parlimen seperti lembu yang memberi keuntungan kepada ahli politik yang tidak jujur yang mengejar kuasa dan kedudukan dengan mengorbankan krisis sebenar negara iaitu COVID-19 dan kemelesetan ekonomi. DAP menyedari bahawa menandatangani MOU dalam iklim politik semasa bukanlah paling sesuai, lebih-lebih lagi ketika berhadapan dengan lawan politik yang tidak mempunyai sejarah dan komitmen terhadap reformasi politik.
Namun, PH dan DAP bersedia untuk memaksa mereka bagi melaksanakan reformasi ini dan pada masa yang sama mengikuti rancangan kami untuk menyelamatkan nyawa dan mata pencarian rakyat dengan memanfaatkan ketakutan mereka terhadap kehilangan kuasa melalui satu lagi rampasan kuasa dalaman daripada kerajaan mereka yang sudah berpecah belah. Inilah sebabnya mengapa PH dan DAP enggan menerima jawatan dan kedudukan dengan menyertai kerajaan, memilih untuk tetap menjadi pembangkang bagi memainkan bukan sahaja peranan kita sebagai semak dan imbang, tetapi juga menawarkan alternatif yang sebenar kepada rakyat tentang sebuah kerajaan rakyat yang dibimbing oleh prinsip, cita-cita dan idea.