Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya di atas inisiatif mewujudkan gelembung percutian di Pulau Langkawi. Langkah ini sememangnya sesuatu yang baik untuk menghidupkan semula industri pelancongan negara yang menerima tamparan hebat akibat pandemik COVID-19. Kejayaan gelembung percutian ini dapat menjadi langkah pendahulu untuk tempat-tempat percutian di Malaysia, dan seterusnya di peringkat antarabangsa.
Kendatipun, kenyataan berkenaan untuk tidak memandatkan ujian saringan COVID-19 bagi mereka yang bakal bercuti ke tempat tersebut menimbulkan kerisauan kepada pelbagai pihak. Memandangkan kes positif di negara masih di jangkauan puluhan ribu, SOP yang ketat perlu wujud kerana wujud risiko penularan. Dengan wujudnya pelbagai varian baharu, tidak mustahil untuk mereka yang sudah lengkap dua dos vaksinasi ini dijangkiti COVID-19 dan situasi akan jadi lebih teruk sekiranya mereka sendiri tidak tahu yang mereka sudah dijangkiti dan menjadi ‘superspreader’.
Perlu juga untuk kita diingatkan bahawa individu di bawah umur 18 tahun juga dibenarkan untuk ikut bersama ibu bapa yang sudah lengkap dos vaksin, dan rata-rata mereka ini belum divaksinasikan. Hal ini juga menjadi kebimbangan yang amat besar sekiranya tiada inisiatif untuk ujian saringan dijalankan terlebih dahulu.
Sekurang-kurangnya, mereka yang ingin bercuti ke pulau ini wajar melakukan ujian saringan COVID-19 kendiri 48 jam sebelum berangkat ke tempat tersebut. Demi memastikan inisiatif ini untuk tidak tersangkut di tengah jalan, segala macam cara perlu diusahakan bagi memastikan gelembung percutian ini sebuah inisiatif yang berjaya. Tambahan pula, dengan adanya kewajipan untuk melakukan ujian saringan, para pelancong akan berasa selamat, mereka yang di pulau juga tidak perlu risau dengan penularan wabak.