Skip to content

Menang bermartabat, atau kalah terhormat; BN seharusnya menangani isu dan bukannya menghina diri dengan melakukan pembunuhan karakter terhadap seorang anak gadis peguam muda dengan nada seksis dan pembohongan

Menang bermartabat, atau kalah terhormat; BN seharusnya menangani isu dan bukannya menghina diri dengan melakukan pembunuhan karakter terhadap seorang anak gadis peguam muda dengan nada seksis dan pembohongan. Berbanding bercakap tentang kenaikan harga barang, GST dan rasuah yang memberi kesan buruk kepada rakyat, BN sedang melakukan serangan peribadi bertubi-tubi bagi merosakkan karakter calon DAP di Teluk Intan, Dyana Sofya.

Daripada mempersoalkan kelayakan beliau sebagai seorang peguam, sehinggalah kepada hal rupa parasnya termasuk fitnah memakai bikini, malah menggelarnya seorang penipu dan seorang anak kecil yang memerlukan puting, tahap kebencian dan politik jijik ini belum pernah dilihat dalam mana-mana pilihanraya kecil. Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Teng Chang Yeow sepatutnya merasa malu kerana menggelarkan Dyana calon ‘3N’ – ‘no integrity, no honesty, no sincerity’ (tidak ada integriti, tidak jujur dan tidak ikhlas), walhal beliau sendiri sudah dua kali ditolak oleh pengundi di Pulau Pinang pada pilihanraya tahun 2008 dan 2013, disebabkan Teng tidak ada integriti, tidak jujur dan tidak ikhlas.

Penasihat parti Gerakan, Chang Ko Youn menghentam Dyana Sofya mengenai pendiriannya yang tidak konsisten tentang hudud meskipun Dyana telah menyatakan sokongan kepada pendirian DAP untuk tidak membantah hudud dalam Islam tetapi membantah pelaksanaan undang-undang hudud di Malaysia kerana ia bertentangan dengan Perlembagaan. Pendirian Dyana lebih baik berbanding pemimpin UMNO yang mahu melaksanakan undang-undang hudud.

Serangan peribadi paling teruk datang daripada Pemuda Gerakan Pulau Pinang dan Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir. Dyana Sofya diejek kerana terlalu bergantung kepada pemimpin DAP Lim Kit Siang, malah Gerakan berkata bahawa jika Dyana menangis tanpa kehadiran Kit Siang, Dyana boleh dapatkan puting dari Gerakan. Ini sangat memualkan! Mukhriz juga telah menyerang Dyana mengenai penampilan beliau.

Adakah BN begitu terdesak sekali sehingga sanggup menghinakan diri ke tahap sedemikian demi mengelak daripada terpaksa menjelaskan isu kenaikan harga gula, petrol, elektrik dan insuran kenderaan termasuk isu gangsterisme dalam kalangan ahli UMNO yang menggunakan kekerasan apabila menceroboh masuk ke Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang serta merusuh dan mengugut mahu membakar pejabat DAP di Kuala Lumpur dan Kuantan?

Dengan menggunakan taktik yang tidak jujur ini, BN telah menunjukkan yang mereka tidak lagi layak untuk mentadbir Malaysia. DAP menyeru rakyat Teluk Intan untuk menolak politik jijik ini dengan menolak BN pada hari Sabtu 31 Mei ini. Pengundi Teluk Intan mewakili seluruh negara, mahukan perubahan sebenar yang membolehkan semua rakyat Malaysia untuk mengambil bahagian terutamanya wanita dan anak muda, supaya kita boleh melindungi masa depan kita daripada terus dirompak.