Saya mengalu-alukan dan mencadangkan kepada Kerajaan Pusat supaya suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi Kebangsaan COVID-19 dapat disegerakan kepada mereka yang bekerja/berkhidmat dalam sektor perkilangan di negeri ini.
Seruan tersebut adalah berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) sehingga 14 Mac 2021, yang mana daripada keseluruhan 19 kluster aktif di Pulau Pinang kini, sejumlah 12 kluster adalah melibatkan sektor perkilangan. Justeru, dengan pelaksanaan berkaitan, adalah turut dipersetujui oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bahawa inisiatif tersebut berkemungkinan besar mampu menurunkan kadar jangkitan kes-kes di negeri ini.
Serentak itu, saya turut menyeru supaya Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dapat menyegerakan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) ‘Safe@Work’ sebagaimana dibentangkan pada 3 Mac lalu membabitkan semua kilang-kilang yang beroperasi di negeri ini dengan mengambil kira kos serta insentif perlu kepada pihak perusahaan kecil dan sederhana (SME) dan industri kecil dan sederhana (IKS) khususnya.
Cadangan yang diutarakan pada Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN): Pengurusan COVID-19 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri menerusi sidang video semalam memperoleh maklum balas positif daripada ahli-ahli mesyuarat lain dan YAB Pengerusi meminta agar KKM menelitinya bagi pelaksanaan dalam tempoh sesegera mungkin.
Pada mesyuarat sama juga, sehingga 14 Mac 2021, KKM melaporkan bahawa R-naught (R-t) kebangsaan adalah berjumlah 0.87 manakala bagi negeri Pulau Pinang, 1.05 iaitu kadar yang masih tinggi. Bagi analisis kadar insiden harian, pada tempoh 15 Februari hingga 28 Februari 2021, purata bilangan kes bagi Pulau Pinang ialah 120 kes dan kadar insiden berjumlah 92.61 manakala dari 1 Mac hingga 14 Mac lalu (139, 107.61).
Terus patuhi SOP dan bersama-sama kita putuskan rantaian perebakan COVID-19 di negeri kita. Sayangi keluarga dan komuniti kita, Penang Lawan COVID-19! Kita mampu lakukannya.