Mahkamah Majistret Seri Manjung semalam memutuskan bahawa dua OKT yang didakwa tidak memakai pelitup muka semasa Pelan Pemulihan Negara dilepaskan dan dibebaskan. Dua OKT ini adalah Tiang Ming Yu (22 tahun) dan Ho Yea Chai (40 tahun) dan mereka diwakili Ahli Parlimen Beruas YB Dato’ Ngeh Koo Ham dan saya.
Tiang Ming Yu telah dituduh pada 6.7.2021 jam lebih kurang 9.10 pagi di tepi jalan Taman Sentosa, Ayer Tawar tidak memakai pelitup muka dan maka tidak mematuhi Arahan Ketua Pengarah Kesihatan berhubung SOP Pelan PPN Fasa 2. Ketika itu, beliau sedang berjalan keluar dari rumah kedai yang didiaminya dan sejurusnys telah dikeluarkan kompaun oleh anggota polis di depan pintu rumah kedainya. Selain beliau, ahli keluarganya iaitu ibu dan kakaknya turut telah menerima kompaun yang sama pada tarikh yang berbeza.
Manakala Ho Yea Chai pula berkata bahawa dia tidak pernah menerima kompaun daripada pihak polis ataupun mana-mana pegawai tetapi secara tiba-tiba telah menerima notis daripada mahkamah untuk hadir ke mahkamah. Beliau dituduh tidak memakai pelitup muka pada jam 10:30 pagi 12.7.2021 di Taman Selamat, Ayer Tawar dan maka itu telah tidak mematuhi melanggar Arahan Ketua Pengarah Kesihatan berhubung SOP Pelan PPN Fasa 2.
Jika disabit kesalahan, mereka akan didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara tidak melebihi enam bulan, atau kedua-duanya.
Selepas menerima aduan dua kes ini, Ahli Parlimen Beruas YB Dato’ Ngeh Koo Ham telah memberikan khidmat bantuan guaman kepada kedua-dua OKT bersama dengan saya dan menjadi peguambela untuk kedua-dua OKT di mahkamah. Dalam pengurusan kes di Mahkamah Majistret Seri Manjung pada 18.5.2023 yang lalu, Dato’ Ngeh telah membangkitkan bantahan awal terhadap dua pertuduhan itu atas tiga sebab seperti berikut:-
Pertama, terdapat kecacatan dalam kertas pertuduhan. Arahan Ketua Pengarah Kesihatan adalah spesifik bahawa hanya seseorang individu itu tidak memakai pelitup muka dalam keadaan tertentu barulah ia menjadi satu kesalahan, contohnya di tempat yang sesak ataupun dalam keadaan yang lain. Namun, kedua-dua pertuduhan itu tidak menyatakan butiran fakta atau butiran Arahan tersebut iaitu bagaimana OKT itu tidak memakai pelitup muka. Tidak memakai pelitup muka tidak dengan sendirinya menjadi satu kesalahan di bawah Arahan tersebut tetapi hanya dalam keadaan yang spesifik sahaja ia menjadi kesalahan ataupun tidak mematuhi Arahan Ketua Pengarah Kesihatan.
Kedua, Arahan Ketua Pengarah Kesihatan merupakan fakta dan bukan undang-undang. Oleh itu, prinsip “kejahilan undang-undang bukan alasan” (ignorantia juris non excusat) adalah tidak terpakai. Dalam tempoh PKP atau PPN, Ketua Pengarah Kesihatan telah mengeluarkan arahan SOP yang berbeza-beza dari semasa ke semasa dan orang ramai kadang kala adalah terkeliru dengan arahan yang terkini. Justeru, sekiranya orang ramai didapati tidak mengikut arahan yang terkini, pihak penguatkuasa sepatutnya terlebih dahulu memberi peringatan ataupun amaran untuk orang ramai mematuhi Arahan terkini dan bukannya terus mengeluarkan kompaun. Hanya jika orang itu gagal mematuhi amaran tersebut, dia dikeluarkan kompaun ataupun didakwa kerana menghalang penjawat awam dalam melaksanakan tugas mereka.
Ketiga, di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), hanya pegawai Kementerian Kesihatan sahaja yang mempunyai kuasa untuk mengeluarkan kompaun dan polis tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan kompaun. Dato’ Ngeh pernah mengadakan sidang media di hadapan Balai Polis Ayer Tawar pada 20 Mac 2021 dan menyatakan bahawa polis telah mengeluarkan kompaun di luar bidang kuasa di bawah Akta 342 dan hendak ketidakpatuhan undang-undang di bawah Kerajaan Perikatan Nasional (PN) diberhentikan.
Berdasarkan tiga hujahan ini, pihak Pendakwa telah memohon Mahkamah untuk menangguhkan kes tersebut bagi mendapatkan arahan selanjutnya daripada pihak atasan.
Semalam, Pegawai Pendakwa memberitahu saya bahawa pejabat beliau telah menerima surat daripada Jabatan Kesihatan Negeri Perak dan telah menyenaraikan kesalahan teknikal berkaitan Kertas Siasatan di bawah Akta 342 boleh diklasifikasikan sebagai kes “tiada tindakan lanjut” (NFA). Oleh itu, pihak pendakwaan telah memohon kepada Majistret untuk menarik balik kedua-dua pertuduhan tersebut dan kedua-dua OKT dilepas tanpa dibebaskan (DNAA). Walaupun bagaimanapun, berdasarkan surat yang sama saya telah memohon kepada Majistret untuk membebaskan kedua-dua OKT dan telah diizinkan oleh Majistret.
Saya mengalu-alukan keputusan Mahkamah Majistret dan Jabatan Kesihatan Negeri, dan mengulangi pendirian kami bahawa setiap individu mesti mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dalam tempoh PKP dan PPN tetapi negara kita yang mempunyai kedaulatan undang-undang mestilah memastikan semua pihak mematuhi dan menghormati undang-undang.
Dalam tempoh PKP, kerajaan pintu belakang Perikatan Nasional telah melakukan pelbagai perbuatan yang menyalahi undang-undang serta menyalahgunakan undang-undang darurat termasuklah menyalahgunakan Arahan Ketua Pengarah Kesihatan untuk mengeluarkan kompaun yang tidak sah. Namun demikian, keadaan ini telah diperbetulkan dalam kes-kes ini dan harus diikuti pada masa yang akan datang.