Skip to content

Para pengundi di Pulau Pinang perlu mencipta sejarah dalam pilihan raya negeri dengan kadar keluar mengundi yang lebih tinggi berbanding dengan Pilihan Raya Umum ke-14 dan ke-15 untuk merebut peluang untuk menjadikan Malaysia juara dunia sekali lagi dan untuk Malaysia menjadi contoh dialog, persefahaman, toleransi, keharmonian antara etnik, agama, budaya, dan tamadun kepada dunia

Perikatan Nasional (PN) menjangkakan kadar keluar mengundi yang rendah dalam kalangan pengundi bukan Melayu dan bukan Islam di Pulau Pinang dalam pilihan raya umum yang bakal berlangsung pada bulan Ogos dan kerana inilah Presiden PN, Muhyiddin Yassin, menyatakan keyakinan untuk PN “memenangi hampir 20” kerusi untuk meraih majoriti mudah dalam Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang yang ada 40 kerusi.

Kerana inilah dia telah mengingatkan Presiden Gerakan, Dominic Lau, di Konvensyen PN yang PN hanya memerlukan 21 kerusi untuk majoriti mudah di Pulau Pinang dan dia meminta Gerakan untuk mendapatkan satu peratus tambahan undian untuk memenangi kuasa di Pulau Pinang.

Peranan Gerakan di Pulau Pinang adalah untuk mendapatkan satu peratus undian tambahan ini untuk membolehkan PN membentuk Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Saya menyeru kepada para pengundi di Pulau Pinang, sama ada Melayu atau bukan Melayu, Islam atau bukan Islam, untuk mencipta sejarah dalam pilihan raya negeri pada bulan Ogos ini untuk keluar mengundi pada kadar yang lebih tinggi berbanding dengan Pilihan Raya Umum ke-14 dan ke-15 untuk merebut peluang untuk menjadikan Malaysia juara dunia sekali lagi dan untuk Malaysia menjadi contoh dialog, persefahaman, toleransi, keharmonian antara etnik, agama, budaya, dan tamadun kepada dunia.

Para pengundi di Malaysia mencatatkan kadar keluar mengundi sebanyak 82.3 peratus dalam pilihan raya umum pada tahun 2018, yang jatuh sebanyak 8.2 peratus kepada 74 peratus dalam pilihan raya umum ke-15 pada tahun 2022.

Bolehkah pengundi di Pulau Pinang, baik yang Melayu atau bukan Melayu, Islam atau bukan Islam, mencipta sejarah dengan mencatatkan kadar keluar mengundi yang lebih tinggi berbanding dengan 82.3%?

PN mahu Pulau Pinang untuk menjadi seperti Kelantan, tetapi DAP dan Kerajaan Perpaduan Anwar mahu Kelantan untuk menjadi seperti Pulau Pinang, di mana paip air mengeluarkan air bersih dan bukannya air yang berwarna seperti teh tarik. Tetapi untuk menjadikan Kelantan seperti Pulau Pinang bukanlah satu usaha yang mengambil masa setahun atau dua, sebaliknya memerlukan satu atau dua dekad – tetapi, kita perlukan satu permulaan.

Kita mahu Malaysia menjadi juara dunia sekali lagi dalam sebanyak mungkin bidang yang diceburi manusia, tetapi kita tidak mahu menjadi “juara dunia” seperti mana ketika Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri dalam tempoh dari Mac 2020 hingga Ogos 2021.

Di bawah pemerintahan Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, kita dikira “juara dunia” dalam kalangan 30 negara dengan jumlah kematian akibat Covid-19 yang tertinggi – malah, kita pernah mencapai tempat ke-20 pada suatu masa.

Kita juga pernah menjadi “juara dunia” sebagai satu-satunya negara yang menggantung sidang Parlimen yang membolehkan kerajaan untuk melakukan salah guna kuasa dan rasuah.

Tetapi, ini bukanlah bentuk “juara dunia” yang kita mahu Malaysia jadi, sebaliknya kita patut malu dengan “pencapaian dunia” sebegini.

Pilihan raya umum ke-15 telah melahirkan Kerajaan Perpaduan Anwar, yang merupakan satu usaha untuk mengembalikan semula negara kita kepada prinsip-prinsip asal pembinaan Malaysia majmuk seperti yang diterapkan oleh tokoh-tokoh kemerdekaan negara (termasuklah tiga Perdana Menteri terawal yang juga merupakan Presiden UMNO) ke dalam Perlembagaan dan Rukun Negara – prinsip raja berperlembagaan, demokrasi berparlimen, pemisahan kuasa, kedaulatan undang-undang, Islam sebagai agama rasmi dengan kebebasan untuk agama-agama lain, tadbir urus baik, integriti awam dengan rasuah yang minima, meritokrasi, hormat terhadap hak asasi manusia, dan perpaduan negara, persefahaman, dan keharmonian dari kepelbagaian masyarakat berbilang kaum, bahasa, agama, dan budaya.

Adakah usaha membentuk Kerajaan Perpaduan Anwar untuk mengembalikan negara kita kepada prinsip-prinsip asal pembinaan sebuah Malaysia majmuk ini dapat diteruskan untuk Malaysia menjadi juara dunia dalam semakin banyak bidang yang diceburi manusia?

Atau adakah Malaysia akan kekal dalam hala tuju ke arah menjadi sebuah negara yang berpecah belah, gagal, dan teruk dalam dekad-dekad yang akan datang?

Inilah erti sebenar pilihan raya umum yang bakal berlangsung di Pulau Pinang dan lima negeri lain lagi pada bulan Ogos ini – sama ada Malaysia akan menjadi sebuah negara yang berpecah belah, gagal, dan teruk dalam dekad-dekad yang akan datang, terutamanya menjelang ulang tahun ke-100 negara pada tahun 2057.

Atau adakah Malaysia akan menjadi contoh dialog, persefahaman, toleransi, dan keharmonian antara etnik, agama, budaya, dan tamadun kepada dunia?

Saya percaya yang para pengundi Malaysia, baik yang Melayu atau bukan Melayu, Islam atau bukan Islam, mahu Malaysia menjadi juara dunia sekali lagi dan mahu Malaysia menjadi contoh dialog, persefahaman, toleransi, dan keharmonian antara etnik, agama, budaya, dan tamadun kepada dunia?

Kita mahukan sistem politik, ekonomi, pendidikan, kesihatan, dan sosial yang terbaik di dunia, bukannya menjadi sebuah negara dengan kadar kematian tertinggi ketika berhadapan dengan satu pandemik global.

Kita perlu tunjukkan kadar keluar mengundi yang lebih tinggi dalam pilihan raya negeri pada bulan Ogos ini berbanding dengan semasa Pilihan Raya Umum ke-14 dan ke-15 kerana kita perlu fikirkan masa hadapan negara dan masa hadapan anak-anak serta cucu-cucu kita! Kita tidak boleh bazirkan peluang untuk menjadi juara dunia yang mungkin hanya datang sekali-dalam-seabad ini.