Skip to content

Mengalu-alukan perubahan yang dibuat oleh Menteri Sumber Manusia

Saya telah membuktikan kepada Menteri Sumber Manusia bahawa permohonan untuk pekerja asing tidak dapat dibuat tanpa melalui agen. Saya mengalu-alukan perubahan yang dibuat oleh Menteri Sumber Manusia dan menyeru Menteri Dalam Negeri juga membuat perubahan yang perlu kepada Kementeriannya supaya permohonan untuk pekerja asing dapat dipermudahkan.

Pada 26hb Julai 2022 (Selasa) apabila Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan menjawab di Parlimen bahawa permohonan untuk pekerja asing boleh dibuat dalam talian (online) tanpa memerlukan penggunaan agen, saya telah menyatakan bahawa ia adalah satu pembohongan besar! Saya telah berjumpa dengan Datuk Seri M. Saravanan sebanyak 2 kali selepas sidang parlimen tersebut dan membuktikan kepadanya bahawa adalah mustahil majikan boleh mendapat kelulusan mendapat pekerja asing tanpa melalui agen kerana berbagai rintangan dan kesusahan yang diwujudkan oleh Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri.

Saya telah membawa kepada perhatiannya bahawa terdapat aduan dimana hanya mereka melalui agen yang sudi membayar kepada orang dalaman Kementerian Sumber Manusia (KSM) rasuah sebanyak RM1,500 seorang pekerja asing akan diberikan tarikh temuduga untuk permohonan mereka. Saya juga menyoalnya kenapa permohonan hanya boleh dibuat di pejabat KSM, Putrajaya dan temuduga hanya boleh dibuat di pejabat tersebut. Ini membolehkan sesetengah pihak dalaman yang menguasai sistem permohonan dan penepatan temujanji menuntut rasuah diberikan.

Tiga hari yang lepas, pada 29hb Julai 2022 (Jumaat) KSM telah membuat kenyataan media bahawa proses temuduga permohonan kuota pekerja asing boleh dibuat di setiap negeri masing-masing selain daripada majikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan yang temuduga mereka masih di One Stop Centre KSM, Putrajaya. Selepas pengumuman tersebut, pegawai-pegawai KSM telah bekerja sampai larut malam pada hari yang sama untuk memberitahu majikan-majikan supaya hadir di pejabat KSM negeri masing-masing untuk temuduga pada tarikh-tarikh yang ditetapkan untuk mereka. Ramai majikan-majikan terperanjak dengan perkembangan tersebut dan telah menghubungi saya berterima kasih kepada saya kerana berani membongkarkan pembohongan yang dibuat oleh Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia dalam Parlimen selama ini. Saya sangat gembira dan mengalu-alukan perkembangan positif ini.

Walaubagaimanapun, saya berharap KSM boleh membuat satu lagi penambahbaikan iaitu untuk kebanyakan kes, temuduga adalah tidak perlu diadakan kerana ia satu proses penduaan (duplication) yang membuang masa. Bagi penternak ayam, KSM memerlukan permohonan disokong oleh Jabatan Veterinar. Kalau Jabatan Veterinar sudah mengesahkan jumlah pekerja yang diperlukan, apa lagi yang perlu ditemuduga? Begitu juga untuk ladang sawit, getah dan kebun sayur-sayuran, KSM telah membuat kajian dan tahu berapa pekerja yang diperlukan untuk setiap hektar tanah pertanian tersebut.

Selepas mendapat kelulusan kuota pekerja asing, majikan mesti membayar levi di Kementerian Dalam Negeri (Bahagian pekerja Asing) Putrajaya. Kenapa ia tidak boleh dibayar secara dalam talian? Adalah begitu susah untuk majikan daripada negeri-negeri yang jauh untuk datang semata-mata untuk membayar levi-levi berkenaan. Saya menyeru Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hamzah bin Zainuddin supaya membuat perubahan kepada kementeriannya supaya urusan rakyat dengan kementeriannya dapat dipermudahkan. Selama ini apabila kelulusan untuk pekerja asing di bawah KDN, semua urusan dengan KDN (bahagian pekerja asing) juga hanya boleh dilakukan di pejabat KDN (bahagian pekerja asing) Putrajaya. Terdapat juga tuduhan rasuah berleluasa dalam KDN berkenaan dengan permohonan untuk pekerja asing. Saya berharap KDN juga mengikut contoh yang telah ditunjukkan oleh KSM dan membenarkan semua urusan berkenaan dengan pekerja asing dapat dilaksanakan di setaip pejabat immigresen di seluruh negara.