Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) kesal dengan tindakan Kerajaan untuk tidak menyahklasifikasikan sepenuhnya Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) berkaitan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).
Laporan berkenaan yang dilampirkan bersekali dengan Laporan PAC – Tindakan Susulan Kementerian Pengangkutan (MOT) berhubung AES dibentangkan di Parlimen hari ini, membuktikan bahawa Kerajaan khususnya Jabatan Perdana Menteri tidak menghormati Institusi Parlimen terutama sekali PAC.
Rakyat boleh menilai sendiri tindakan Kerajaan yang bersikap acuh tidak acuh terhadap syor PAC yang juga Jawatankuasa Pilihan Dewan Rakyat untuk menyahklasifikan sepenuhnya Laporan JKSTUPKK itu.
Tindakan menghitamkan sebahagian laporan berkenaan yang tidak ada kena mengenai dengan aspek keselamatan negara atau dasar yang sensitif jelas sikap kebudak-budakan dan merendahkan martabat Parlimen.
PAC memainkan peranan untuk memberikan maklumat yang tepat dan sahih kepada rakyat berhubung isu AES ini, dan adalah penting untuk rakyat menilai sendiri kandungan Laporan JKSTUPKK itu.
Apabila PAC membentangkan laporan Jawatankuasa ini berhubung AES pada 23 November 2021, syor pertama PAC adalah supaya Laporan JKSUPKK ini yang diletakkan sebagai Rahsia Besar dinyahklasifikasi.
Bagaimanapun, JPM yang bertindak mengklasifikasikan laporan berkenaan gagal berbuat demikian apabila menghadiri Prosiding Tindakan Susulan Kementerian pada 23 Mac 2022. Sikap JPM ini telah ditegur oleh PAC semasa prosiding tersebut.
Tindakan menyahklasifikasikan Laporan JKSTUPKK itu hanya dilakukan pada 8 Julai 2022. Namun nyahklasifikasi laporan berkenaan tidak dilakukan sepenuhnya sebaliknya, maklumat-maklumat berkenaan dengan nama-nama turut dihitamkan. Adalah amat ridiculous apabila nama-nama syarikat yang terbabit iaitu Beta Tegap Sdn Bhd dan ATES Sdn Bhd yang telah menjadi pengetahuan umum, dan nama Menteri-Menteri juga turut dihitamkan.
Orang awam yang mahu membaca Laporan PAC – Tindakan Susulan Kementerian Pengangkutan (MOT) berhubung AES boleh memuat turun laporan berkenaan di laman web PAC di www.parlimen.gov.my/pac.