Skip to content

Mengalu-galukan penjelasan Kementerian Pendidikan Tinggi terhadap persoalan ketidakwujudan butiran peruntukan Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman

Terlebih dahulu saya mengalu-galukan penjelasan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terhadap persoalan ketidakwujudan butiran peruntukan Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (KUTAR) yang saya timbulkan di Dewan Rakyat pada 28 November 2017.

KPT dalam kenyataannya pada 30 November 2017 menjelaskan bahawa RM30 juta akan diperuntukan kepada KUTAR pada tahun 2018 dan peruntukan tersebut adalah termaktub di bawah OS42000 (Pemberian Dalam Negeri) Butiran 040000 (Pengurusan Sektor Pendidikan Tinggi).

Jikalau peruntukan RM30 juta untuk KUTAR adalah seperti yang dijelaskan telah dimasukkan di dalam Butiran (040000 Pengurisan Sektor Pendidikan Tinggi), mengapakah Menteri Pendidikan Tinggi tidak dapat menjawap persoalanan saya di dalam Dewan Rakyat pada 28 November 2017? Selain itu, Menteri Pendidikan Tinggi juga tidak dapat menjawap persoalan ini pada 29 November 2017 ketika beliau ditanya oleh para wartawan di Bilik Media Parlimen. Saya mendedahkan kekurangan ini pada 28 November 2017 tetapi KPT cuma mampu jawap pada 30 November 2017. Ini telah menunjukkan bahawa kebimbangan saya adalah berasas.

Saya membangkitkan persoalan ini sebab sebelum ini peruntukan untuk KUTAR memang akan termaktub di dalam anggaran perbelanjaan KPT kecuali untuk Bajet 2018. Sebelum ini, bukan sahaja butiran dan jumlah peruntukan kepada KUTAR termaktub di dalam bajet KPT tetapi KUTAR juga dikategorikan sebagai Program 8 bagi KPT serta pengenalan ringkas dan objektif KUTAR juga akan termaktub di dalam Anggaran Perbelanjaan KPT. (Sila rujuk kpd Program 8: Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman untuk Bajet 2016 dan 2017). KPT perlu jawap mengapakah KUTAR tidak lagi dikategorikan sebagai “Program” bagi kementerian tersebut.

Walaupun KPT sudah memberi penjelasan terhadap peruntukan kepada KUTAR, tetapi saya berpendapat bahawa adalah wajar untuk kerajaan mengikut praktis yang lama untuk terus memasukkan butiran KUTAR dan peruntukan tahunannya di dalam bajet KPT supaya ia lebih transparen dan dapat dipantau oleh semua pihak.

Kepada MCA, Menteri, Timbalan Menteri dan Ahli Parlimen mereka sepatutnya lebih peka terhadap segala yang termaktub di dalam bajet KPT khususnya terhadap peruntukan kepada KUTAR yang diasaskan oleh mereka. Jikalau saya tidak mededahkan kekurangan ini ketika perbahasan di Dewan Rakyat pada 28 November 2017, tentulah mereka tidak tahu apa yang sedang berlaku.

Saya tidak mengharapkan mereka berterima kasih kepada saya atas pendedahan ketidakwujudan butiran KUTAR untuk bajet 2018 berjaya mendesak KPT mengumumkan peruntukan RM30 juta kepada KUTAR. MCA sepatutnya berusaha gigih dalam menuntut peruntukan yang lebih tinggi kepada KUTAR kerana peruntukan yang disediakan oleh kerajaan pusat semakin berkurangan. Jikalau dibandingkan dengan RM60 juta pada tahun 2015, peruntukan tahun 2018 sudah merosot sebanyak RM30 juta.

Akhirnya, saya membangkitkan perkara ini demi kepentingan semua kakitangan, pelajar-pelajar di KUTAR dan segala kebimbangan dan persoalan saya terhadap peruntukan KUTAR adalah berdasarkan butiran dan angka-angka yang termaktub di dalam angaran perbelanjaan KPT tahun 2018. Jadi tidak timbul soal saya perlu mohon maaf atau tidak.

Rujukan:-

1. KUTAR – Bajet 2018

2. KUTAR – Bajet 2016

3. KUTAR – Bajet 2017

4. KPT – Bajet 2018

5. KPT – Bajet 2016

6. KPT – Bajet 2017