Skip to content

Mengapakah Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi tidak menyatakan tuduhannya terhadap DOJ dan kerajaan Amerika di majlis ulangtahun kemerdekaan ke-241 Amerika Syarikat di Kuala Lumpur?

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi dilaporkan berkata tindakan Jabatan Kehakiman Amerika (DOJ) memfailkan saman sivil bagi merampas aset yang didakwa dibeli menggunakan wang yang diseleweng daripada dana 1MDB adalah memalukan kerana pihak DOJ katanya bertindak berdasarkan maklumat yang tidak tepat.

Sekurang-kurangnya empat orang pegawai bank telah disabitkan kesalahan dan dipenjara di Singapura kerana terlibat dalam skandal 1MDB; manakala siasatan sedang berjalan di sekurang-kurangnya empat negara: Singapura, Switzerland, Luxembourg dan Amerika Syarikat terhadap jenayah pengubahan wang haram yang terkait 1MDB.

Adakah si Aziz ini sedang cuba menyatakan bahawa keempat-empat pegawai bank tersebut tidak bersalah dan telah dihukum secara tidak adil oleh mahkamah Singapura berdasarkan keterangan dan bukti-bukti palsu?

Adakah si Aziz juga menyatakan bahawa empat negara tadi benar-benar bodoh kerana menghabiskan begitu banyak masa, wang dan tenaga menyiasat maklumat palsu melibatkan 1MDB? Kenapa Malaysia begitu terkebelakang dari segi ekonomi dan pendidikan jika dibandingkan dengan empat negara ‘bodoh’ ini?

Aziz juga berkata bahawa sejarah telah membuktikan hampir semua campur tangan Amerika Syarikat telah memusnahkan keharmonian dan menjejaskan kestabilan negara terlibat.

Sekiranya Amerika begitu jahat, Aziz sepatutnya mendesak presiden partinya yang kebetulan juga Perdana Menteri, untuk menghentikan operasi kedutaan Amerika di Malaysia dalam rangka menghentikan usaha-usaha jahat negara itu bagi menghancurkan keharmonian dan kestabilan negara.

Namun hakikatnya, Aziz mungkin telah tersilap percaya tentang maklumat palsu mengenai Amerika ini, kerana baru sahaja kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional yang juga gigih menghentam tindakan DOJ ke atas 1MDB, kelihatan gembira meraikan ulangtahun kemerdekaan ke-241 Amerika Syarikat di majlis anjuran Kedutaan Amerika di sebuah hotel bertaraf lima bintang di Kuala Lumpur.

Kenapa Aziz tak ikut sekali dan nyatakan tuduhannya terhadap DOJ dan kerajaan Amerika di majlis itu?