Skip to content

PAS lebih risau dengan Pakatan Harapan berbanding dengan kleptokrasi BN

Sekali lagi, PAS telah menunjukkan kebimbangan mereka terhadap sokongan YB Lim Kit Siang terhadap YB Husam Musa sebagai calon Menteri Besar Kelantan sekiranya Pakatan Harapan memenangi Negeri Kelantan pada PRU-14 nanti. Kali ini yang sedang menunjukkan kebimbangan adalah Ketua Pemuda PAS Perak Mohd Akmal Kamaruddin (https://www.malaysiakini.com/news/387495).

Apa salahnya YB Lim Kit Siang memberikan cadangan sebegitu? Apa yang PAS risaukan? Kenapa PAS tidak menunjukkan kerisauan terhadap isu kleptokrasi 1MDB di bawah pentadbiran Barisan Nasional? Bukankah isu ini lebih lebih genting berbanding isu lain? Siapakah Mohd Akmal untuk mencabar dan melenting YB Lim Kit Siang yang lebih berpengalaman dan lebih bijaksana dalam percaturan politik?

Sebaliknya, PAS dan Mohd Akmal sepatutnya bimbang terhadap kleptokrasi 1MDB di bawah pentadbiran Barisan Nasional yang bukan sahaja memalukan negara di persada dunia, tetapi juga mengurangkan keyakinan rakyat terhadap ekonomi negara di mana kos sara hidup tidak menyebelahi rakyat langsung.

Pendirian PAS yang tidak mempedulikan akan kleptokrasi 1MDB di mana skandal penyelewengan tersebut yang mendapat perhatian dunia dan melanggar beberapa undang-undang kewangan negara lain di mana tindakan undang-undang diambil mengikut negara masing-masing bukannya bermaksud ‘campurtangan asing’ seperti yang didakwa oleh PAS dan Barisan Nasional. Ini adalah isu yang benar dan sahih yang sedang berlaku dan amat memalukan bagi negara kita. Adalah amat mengecewakan di mana selama ini PAS yang lantang bersuara terhadap UMNO dan Barisan Nasional mulai mengikut rentak dan skrip UMNO seolah-olah mereka pun terlibat dan ingin menutup skandal tersebut. Persoalannya sekarang, adakah PAS tidak menghiraukan isu-isu penyelewengan yang merugikan di negara sendiri?

PAS harus sedar diri sendiri dan tepuk dada tanya selera akan pendirian mereka mengenai hala tuju politik di negara kita di bawah Barisan Nasional yang kleptokrat dan zalim jika mereka hendak menjadi relevan di dalam politik tanah air.