Dalam satu sistem demokrasi, suara rakyat tidak haruslah disekat terutamanya suara anak muda yang berani bangkit menyuarakan pandangan secara aman.Hak ini adalah asas dalam proses demokrasi malah dilindungi di bawah Perlembagaan Persekutuan
Perkara 10(1) Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan hak kebebasan bercakap dan bersuara secara aman kepada setiap warganegara Malaysia
Semalam, ahli DAPSY telah membangkitkan dan menyuarakan bantahan mereka secara aman terhadap layanan VIP yang diberikan kepada seorang penjenayah yang telah disabitkan kesalahan oleh mahkamah,
Rasuah adalah satu perbuatan yang salah dan merupakan barah kepada negara kita. Rasuah bukan sahaja memudaratkan ekonomi, tetapi juga menjejaskan keselamatan negara.
Lebih-lebih lagi sebagai pemimpin negara yang telah dibuktikan di mahkamah terlibat dalam aktiviti rasuah, ini bukan satu amalan yang harus kita terima atau maafkan. Oleh itu, rakyat berhak membuat bantahan untuk melindungi dan mempertahankan akhlak negara.
Saya bangga melihat semakin ramai anak muda berani bangkit dan tahu membezakan mana yang betul dan mana yang salah. Inilah kematangan dan kesedaran yang ditunjukkan oleh anak muda kita dan juga menunjukkan rasa cinta mereka terhadap negara kita
Najib sebelum ini telah disabitkan di mahkamah, malah hakim tersebut telah jelas mengatakan bahawa beliau adalah satu “national embarassment”.
Ini adalah fakta yang tidak boleh dipertikaikan. Malah kini, dengan semakin banyak keterangan saksi seperti Leisner dalam perbicaraan di USA, semakin jelas kita dapat tahu bagaimana Najib dan konco-konconya telah menyalah gunakan kuasa untuk kebaikan sendiri dan orang di sekeliling mereka
Orang seperti itu yang dikatakan “national embarassment” dan menjatuhkan nama negara di persada antarabangsa tidak harus diberikan layanan sebagai seorang wira di negara sendiri.
Apakah mesej yang ingin kami hantar kepada anak kita dan generasi akan datang jike kita berbuat demikian?
Maka, apabila semakin ramai anak muda bangkit bersuara, akan ada harapan untuk negara. Kebangkitan kuasa orang muda adalah fenomena yang baik, dan saya berdiri bersama mereka, mempertahankan hak mereka untuk bersuara dan menghormati keberanian mereka untuk menegakkan kebenaran.
Saya juga mengutuk sekeras-kerasnya keganasan yang ditunjukkan terhadap mereka yang menyuarakan pandangan secara aman. Kelakuan seperti ini tidak haruslah berlaku dan adalah sebahagian daripada budaya politk lapuk yang kami ingin tukar untuk masa depan negara yang lebih baik.