Skip to content

Pelajar antarabangsa memang pun diwajibkan belajar Bahasa Melayu sejak 2014 PM usah politikkan isu pendidikan

Sewaktu ucapan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada Perhimpunan Agung Umno 2021, beliau telah menuntut bahawa pelajar antarabangsa wajib mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu sebagai salah satu mata pelajaran mereka. Sebab yang diberikan ialah cadangan ini adalah untuk memartabatkan lagi Bahasa Melayu selaras dengan Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan.

Namun, cadangan seperti ini menimbulkan lebih tanda tanya dan dilihat kurang jelas oleh kerana pelajar antarabangsa sudah pun diwajibkan mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu Komunikasi dalam konsep Mata Pelajaran Pengajian Umum. Mereka juga berpeluang untuk mempelajari Hubungan Etnik dan Tamadun Asia dan Tamadun Asia (TITAS). Program ini telah pun diterapkan sejak 2014 dan dilaksanakan oleh setiap universiti tempatan yang mengambil pelajar antarabangsa.

Komuniti para akademik dan pelajar-pelajar antarabangsa rata-rata juga terpinga-pinga akan apa sebabnya Perdana Menteri telah menuntut sesuatu yang sudah pun wujud dalam mata pelajaran pengajian tinggi. Contohnya, Zaharom Naim, seorang ahli akademik dari Universiti Nottingham Malaysia telah pun menyifatkan saranan sedemikian sebagai berinspirasi politik, lagi-lagi apabila dilakukan sewaktu Perhimpunan Agung UMNO. Walhal seolah Perdana Menteri tidak menyemak sendiri ataupun bertanyakan tentang isu ini terlebih dahulu kepada Menteri Pengajian Tinggi, YB Noraini Ahmad bagi membezakan antara fakta dan auta sebelum membuat pengumuman sebegini.

Walau bagaimanapun, ucapan sebegitu perlu diberi ulasan lanjut. Contohnya jika Perdana Menteri ingin membuat pembaharuan seperti mewajibkan semua pelajar antarabangsa lulus dalam ujian mata pelajaran tersebut atau perlunya kajian semula akan sukatan pelajaran dan sebagainya. Pada pendapat saya, program Mata Pelajaran Umum secara keseluruhannya sudah memadai bagi pelajar antarabangsa untuk mengetahui lebih lanjut tentang negara kita. Saya harap Perdana Menteri tidak hanya berucap atas pentas parti semata-mata mendapatkan sokongan ahli tetapi membuang masa dan mengelirukan rakyat tanpa usul periksa apa yang sudah dilaksanakan di peringkat kementerian.