Saya menyeru pihak kerajaan serius dalam melaksanakan Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11) dan memastikan masalah mutu bekalan air dan Kadar Air Tidak Berhasil (NRW) yang kedua-duanya tidak diselesaikan dalam dalam RMK yang terdahulu dapat dipertingkatkan dengan ketara sebelum 2020.
Kadar Air Tidak Berhasil (NRW)
Setiap hari, kira-kira 5,700 juta liter air bersih yang telah dirawat dan sepatutnya sampai ke pili air pengguna hilang disebabkan paip bocor ataupun pencurian. Ini bersamaan dengan kehilangan RM 2.5 billion setiap tahun jika dinilai dari segi kos pengeluaran industri.
Hal ini bukan perkara baru memandangkan dalam RMK10 yang lepas, wang sejumlah RM1.1 bilion telah diperuntukkan untuk tujuan mengurangkan kadar NRW. Namun demikian, usaha kerajaan tidak menunjukkan prestasi yang memberangsangkan. Secara purata, Kadar Air Tidak Berhasil untuk Malaysia kekal pada tahap 36% dari tahun 2010 ke 2013. Walaupun sesetengah negeri termasuk Johor, Melaka dan Negeri Sembilan memperlihatkan sedikit perubahan positif, negeri –negeri lain seperti Kedah, Perak dan Sarawak bertambah parah fenomena pembaziran air terawat. Yang amat mengejutkan kita adalah keadaan di Kedah, Kelantan, Pahang, Perlis dan Sabah di mana NRW mencecah 50%, bererti separuh air yang terawat bocor dan hilang entah ke mana.
Salah satu penekanan yang diberi dalam RMK11 adalah untuk meningkatkan kecekapan dan produktiviti perkhidmatan bekalan air dan pembentungan (Strategi D3, Bab 7, RMK11). Antara usaha yang diberi tumpuan adalah pelaksanaan program pengurangan air tidak berhasil (non-revenue water, NRW) secara holistik. Sasarannya adalah supaya NRW dikurangkan daripada 36.6% pada tahun 2013 kepada 25% dan dianggarkan bahawa pengurangan 11% ini dapat menghasilkan pendapatan tambahan sehingga RM410 juta setahun. Berkenaan itu, saya ingin membangkitkan dua perkara yang penting.
Pertama, saya mengingatkan kerajaan supaya memastikan setiap sen yang diperuntukkan di bawah RMK11 digunakan tepat pada tempatnya. Rekod yang lepas menunjukkan bahawa setelah RM1.1 billion dibelanjakan, NRW tidak menurun malah meningkat lagi di kawasan-kawasan tertentu. Ternyata, usaha kerajaan dalam mengurangkan NRW dalam tempoh 5 tahun yang lalu adalah gagal.
Jadual 1: Trend NRW dari 2010 ke 2013
| Negeri | 2010 | 2011 | 2012 | 2013 |
| Johor | 29.9 | 29.2 | 27.8 | 26.4 |
| Kedah | 44.9 | 47.8 | 50.6 | 50.9 |
| Kelantan | 52.4 | 55.6 | 53.9 | 53.1 |
| Labuan | 24.9 | 21.9 | 20.4 | 25.9 |
| Melaka | 26.0 | 25.1 | 23.8 | 22.1 |
| N. Sembilan | 43.4 | 44.6 | 40.4 | 36.3 |
| Pulau Pinang | 18.2 | 18.4 | 17.6 | 18.2 |
| Pahang | 55.3 | 56.2 | 54.2 | 52.7 |
| Perak | 29.4 | 30.4 | 30.1 | 30.4 |
| Perlis | 51.3 | 59.8 | 66.4 | 62.4 |
| Sabah | 57.4 | 50.9 | 49.9 | 53.2 |
| Sarawak | 29.0 | 30.5 | 29.4 | 31.3 |
| Selangor | 32.4 | 32.3 | 33.1 | 34.5 |
| Terengganu | 39.4 | 37.0 | 36.8 | 33.8 |
| Malaysia | 36.3 | 36.7 | 36.4 | 36.6 |
(sumber: SPAN dan RMK11)
Kedua, adalah amat mengecewakan kerana menjelang tahun 2020, apabila Malaysia sepatutnya boleh berbangga dengan gelaran negara maju, prestasi pengurusan bekalan air masih kurang maju dengan 25% NRW, itupun jikalau sasaran yang ditetapkan dapat dicapai.
Jaminan Bekalan Air Bermutu Tinggi
Saya juga kecewa kerana tiada sebarang usaha langsung di bawah RMK11 untuk mempertingkatkan mutu bekalan air. Salah satu petunjuk negara maju adalah air paip yang bermutu tinggi dan selamat diminum terus dari pili. Di Jepun, Singapura dan negara-negara Eropah yang maju, rakyat mereka tidak perlu menghabiskan duit ribuan ringgit untuk memasang penapis air (water filter) di rumah. Di Malaysia, rakyat masih tidak yakin akan mutu air paip. Contohnya di rumah saya sendiri, air paip sekali-sekala berwarna dan berbau.
Lapan tahun telah berlalu sejak Akta Perkhidmatan Industri Air 2006 (WaSIA) berkuatkuasa dan negeri Johor telah pun menerima pakai akta tersebut sejak 2010_. Penyerahan kuasa kawalan industri air dari Kerajaan Negeri kepada Kerajaan Persekutuan dengan janji-janji pemodenan dan pembaharuan nampaknya setakat ini tidak membuahkan hasil yang manis.
Kerajaan Persekutuan melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara diberi peluang terakhir di bawah RMK11 untuk menangani masalah NRW dengan kerjasama Kerajaan Negeri, syarikat industri air serta pengguna-pengguna komersial dan domestik. Tiada orang yang akan percaya Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020 sekiranya paip kita masih bocor merata tempat dan mutu air masih tidak dijamin bersih.