Skip to content

Proses pendaftaran pemilih menjadi kurang efisien dan mengalami kelembapan setelah penarikan balik khidmat Penolong Pendaftar Pemilih oleh SPR

Proses pendaftaran pemilih menjadi kurang efisien dan mengalami kelembapan setelah penarikan balik khidmat Penolong Pendaftar Pemilih (PPP) oleh SPR. Anggaran mereka yang layak mengundi namun masih belum mendaftar adalah sebanyak 2.6 juta, manakala jumlah terkini pengundi yang sedia ada adalah 13,423,659.

Warganegara yang ingin mendaftar sebagai pemilih menghadapi kesukaran untuk berbuat demikian kerana saluran pendaftaran menjadi terhad. Jika sebelum ini mereka yang ingin mendaftar sebagai pemilih boleh berbuat demikian melalui program–program pendaftaran yang kerap diadakan oleh parti–parti politik, namun setelah penarikan balik PPP, mereka hanya boleh mendaftar melalui pejabat pos mahupun menerusi program ‘outreach’ SPR.

Terdapat ramai yang layak mengundi namun masih belum mendaftar disebabkan kekurangan saluran pendaftaran. SPR sepatutnya membenarkan parti politik untuk terus membantu proses pendaftaran pemilih memandangkan ia lebih mudah jika berbanding dengan mereka datang ke pejabat ADUN atau Ahli Parlimen untuk mendaftarkan sebagai pengundi.

Selain itu juga, saya juga menyeru sesiapa yang masih belum mendaftar sebagai pemilih untuk melakukan pendaftaran sempena Program Pendaftaran Pengundi yang akan dilakukan pada 24 dan 25 Mei 2015 bertempat di AEON Cheras Selatan bermula pada jam 10 pagi hingga 5 petang. Sesiapa pengundi yang telah berpindah ke kawasan lain juga boleh menukar kawasan mengundi masing-masing di program tersebut. Mereka hanya perlu membawa Mykad untuk mendaftarkan diri sebagai pemilih supaya boleh mengundi pada PRU akan datang.