Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar telah membuat satu kenyataan salah dan menyakitkan hati masyarakat kaum bukan Melayu ketika menjawab soalan lisan di Dewan Rakyat semalam, 18 Mac 2014.
Beliau mendakwa golongan bukan Melayu kurang sensitif dalam isu rogol bawah umur berbanding dengan kaum Melayu. Ini adalah satu kenyataan yang boleh dianggap menghina masyarakat kaum bukan Melayu dengan sengaja.
Beliau menimbulkan kemarahan kaum bukan Melayu kerana cuba memutar-belitkan angka-angka statistik dengan niat memalukan kaum bukan Melayu di Negara ini. Beliau menuduh kaum bukan Melayu tidak sensitif dalam kes-kes rogol bawah umur yang menyebabkan mereka tidak membuat laporan polis.
Dalam kata lain, banyak kes-kes rogol bawah umur berlaku di kalangan kaum bukan Melayu tetapi tidak dilaporkan kepada polis. Kenyataan ini menyifatkan kaum bukan Melayu seolah-olah tidak bermoral dan tidak mengambil peduli dalam menangani isu rogol bawah umur.
Timbalan Menteri itu berkata oleh kerana kaum bukan Melayu jarang melaporkan kes rogol bawah umur, maka inilah yang menyebabkan bilangan kes rogol bawah umur dari kalangan kaum Melayu melonjak tinggi.
Beliau juga berkata ibubapa dari kaum Melayu lebih cenderung untuk membuat laporan polis berbanding dengan ibubapa kaum bukan Melayu. Ini jelas satu tuduhan liar yang nyata mempunyai niat buruk.
Beliau tidak sewajarnya membuat tafsiran sendiri yang melencong. Memutar-belitkan fakta statistik adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab. Timbalan Menteri Dalam Negeri itu telah memanupulasikan perangkaan untuk tujuan kepentingan politiknya.
Mengikut statistik, 80% kes rogol bawah umur pada tahun 2012 dan 2013 ialah dari kalangan kaum Melayu. Kes rogol bawah umur dari kalangan kaum Cina ialah 4.3%, kaum India ialah 2% dan kaum-kaum lain ialah 13% pada tahun 2013.
Walau bagaimanapun, ini bukanlah isu yang patut dilihat dalam perspektif perkauman. Ini adalah isu Negara yang perlu ditangani oleh semua pihak melampaui batasan perkauman. Statistik yang kita ada itu harus digunakan untuk membantu golongan muda dan remaja supaya tidak terjerumus dalam aktiviti-aktiviti sosial yang tidak bermoral dan dilarang oleh agama.
Janganlah sentiasa mencari isu perkauman untuk publisiti murahan dan kepentingan politik dengan cara menghina kaum-kaum lain di Negara ini. Pemimpin-pemimpin kerajaan Barisan Nasional harus berhenti membuat kenyataan-kenyataan seperti ini yang akan menjunamkan lagi kredibiliti sebagai pemimpin Negara.
Saya mendesak supaya beliau memohon maaf serta-merta kepada kaum bukan Melayu kerana kenyataan perkauman yang tidak berasas. Saya juga memberi amaran kepada beliau supaya tidak dengan sengaja menimbulkan isu perkauman yang sensitif pada masa hadapan. Perbuatan seperti ini akan menggugat perpaduan dan keharmonian kaum di Negara kita.
Saya juga ingin meminta pandangan Presiden MCA, MIC, GERAKAN dan pemimpin lain daripada Barisan Nasional berhubung dengan isu sensitif yang ditimbulkan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri.